Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Satu titik kontak sedang diusaha bagi warga emas dapat penjagaan

May 28, 2025 | 8:52 PM
Seminar Rancangan Kerja Penjagaan Masyarakat Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) 2025, ong ye kung, penjagaan, warga emas
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial membentangkan visi bagi penjagaan masyarakat di Seminar Rancangan Kerja Penjagaan Masyarakat, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) 2025 pada 28 Mei. - Foto ST

Perancangan sedang dijalankan bagi memastikan warga emas mempunyai satu titik kontak bagi penjagaan masyarakat, sedang pihak berkuasa berusaha menyepadukan perkhidmatan sedemikian bagi penduduk yang semakin menua di sini, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 28 Mei.

Selain meluaskan perkhidmatan masyarakat secara individu, penyepaduan tersebut akan memudahkan keluarga mengakses perkhidmatan dan beralih antara pelbagai perkhidmatan, katanya semasa Seminar Rancangan Kerja Penjagaan Masyarakat, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) 2025.

Encik Ong, yang juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial pada 21 Mei, membentangkan visi bagi penjagaan masyarakat.

“Ia mestilah sistem yang dipercayai oleh setiap warga emas, tanpa mengira status kesihatan anda. Apabila anda sihat, penjagaan masyarakat mencegah kita daripada jatuh sakit.

“Jika kita sakit, ia membantu kita menguruskan penyakit dan mencegahnya daripada menjadi lebih teruk,” kata beliau.

“Jika kita menjadi lemah, ia menyokong keluarga kita untuk menjaga kita dan mengatur pelbagai perkhidmatan yang kita perlukan.

“Jika keluarga kita tidak dapat menjaga kita, sistem ini akan mengambil alih sebagai jalan terakhir,” tambahnya.

Keperluan mendesak untuk mengubah penjagaan masyarakat cukup jelas.

Menjelang 2030, Singapura akan mempunyai sejuta warga emas berusia 65 tahun dan ke atas, dengan separuh daripada mereka mungkin menghidap penyakit kronik.

Bilangan mereka yang memerlukan bantuan untuk melakukan sekurang-kurangnya satu kegiatan kehidupan harian dijangka naik hampir seganda dalam masa sedekad, iaitu daripada sekitar 58,000 orang pada 2020 kepada 100,000 pada 2030.

Lebih ramai warga emas juga dijangka tinggal bersendirian, daripada 76,000 orang pada 2023 kepada 122,000 orang pada 2030, lapor The Straits Times.

Encik Ong menyenaraikan tiga perubahan.

Pertama, penyelarasan yang kukuh diperlukan dalam sektor penjagaan masyarakat untuk menggabungkan pelbagai perkhidmatan yang semakin berkembang.

Ini bermakna warga emas yang memerlukan gabungan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan mereka yang rumit, dapat berpindah daripada satu perkhidmatan ke perkhidmatan yang lain dengan mudah.

Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) dan AIC telah menyusun semula penjagaan masyarakat kepada kawasan yang lebih kecil.

Penyedia di setiap kawasan digalakkan membentuk satu rangkaian bersama, di bawah sebuah pusat yang akan menjadi titik kontak khusus bagi warga emas yang memerlukan khidmat penjagaan jangka panjang.

Pusat itu, yang dikenali sebagai Penyedia Penjagaan Masyarakat Bersepadu, akan menghimpunkan empat perkhidmatan yang sering digunakan, iaitu khidmat di Pusat Penuaan Aktif (AAC), khidmat jagaan harian di Pusat Penjagaan Warga Emas, penjagaan di rumah di bawah khidmat Penjagaan Peribadi Di Rumah Yang Dipertingkat (HPC+) dan pemulihan di rumah di bawah Terapi di Rumah.

“Bagi keluarga dan warga emas, mereka harus melihatnya sebagai satu perkhidmatan dengan satu kontak sahaja dan satu titik penyelarasan,” jelas Encik Ong.

Kedua, usaha menjadikan perkhidmatan kesihatan masyarakat lebih mudah diakses akan dipertingkat.

Encik Ong telah mendengar daripada doktor bahawa terdapat pesakit dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an tahun yang mendapatkan bantuan di hospital kerana menghidap kencing manis, malah sebilangan kecil menghidap gangren (kematian tisu secara meluas akibat terputusnya bekalan darah).

Tindakan awal, dengan gabungan perubahan gaya hidup dan perubatan, boleh mencegah perkembangan penyakit kronik, katanya.

Ketiga, usaha mendekati warga emas perlu dipertingkat, supaya pihak berkuasa mempunyai maklumat mengenai setiap warga emas, dan tiada sesiapa yang meninggal dunia bersendirian di rumah tanpa diketahui orang lain.

Ia mestilah sistem yang dipercayai oleh setiap warga emas, tanpa mengira status kesihatan anda. Apabila anda sihat, penjagaan masyarakat mencegah kita daripada jatuh sakit. Jika kita sakit, ia membantu kita menguruskan penyakit dan mencegahnya daripada menjadi lebih teruk.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg