Lulusan daripada politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang mengikuti Program Bekerja dan Belajar (WSP) SkillsFuture menikmati gaji lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka yang terus bekerja.
Demikian menurut kajian yang dikeluarkan pada 22 November.
Kajian oleh pakar ekonomi, Cik Audrey Ling dan Encik Damian Tan, mendapati lulusan politeknik yang berbekalkan Diploma Pasca Bekerja dan Belajar (WSPostDip) menikmati kelebihan gaji sekitar 9 peratus satu hingga dua tahun selepas menamatkan program itu.
Mereka juga terus mendapat kelebihan gaji sekitar 6 peratus dalam dua tahun berikutnya.
Lulusan ITE dengan Sijil Bekerja dan Belajar (WSCert) menikmati kelebihan gaji sekitar 11 peratus satu hingga dua tahun selepas menamatkan program itu, dengan kelebihan itu dikekalkan dalam tempoh dua tahun berikutnya lapor The Straits Times (ST).
Walaupun lulusan politeknik layak untuk program WSCert itu, kajian tersebut tidak dapat meneliti hasil gaji lulusan yang menamatkan program WSCert itu kerana saiz sampel yang kecil.
Kajian itu, yang meliputi lulusan WSPostDip dan WSCert daripada kohort 2018 hingga 2021, mendapati WSP SkillsFuture bermanfaat dalam meningkatkan hasil gaji lulusan politeknik dan ITE.
Melangkah ke hadapan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan terus bekerjasama dengan agensi sektor dan institut pengajian tinggi untuk mengembangkan dan meningkatkan laluan bekerja sambil belajar.
Ini khususnya bagi peranan pekerjaan dan set kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi, kata laporan kajian itu.
WSP SkillsFuture bertujuan memberi lulusan politeknik dan ITE permulaan lebih awal dalam kerjaya mereka.
Ia memberi mereka peluang menaik taraf kepada kelayakan yang lebih tinggi sambil bekerja dalam peranan yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka.
Di bawah WSP, individu ditempatkan dengan majikan tempat mereka bekerja sepenuh masa dan mendapat gaji walaupun mereka menjalani latihan sambil bekerja dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Pada akhir WSP itu, mereka memperoleh diploma atau pensijilan yang diiktiraf perusahaan.
Program utama di bawah WSP ialah WSPostDip, iaitu program selama 12 hingga 18 bulan yang membolehkan lulusan politeknik memperoleh diploma lanjutan atau pengkhususan.
Satu lagi program utama ialah WSCert, program selama 12 hingga 18 bulan yang membolehkan lulusan ITE memperoleh sijil yang diiktiraf perusahaan.
Penyertaan WSP adalah secara sukarela bagi kededua individu dan majikan.
Mereka yang berjaya ditempatkan di WSP menerima insentif pendaftaran $5,000, manakala majikan yang mengambil bahagian menerima geran sehingga $15,000 bagi setiap peserta membiayai kos latihan dan gaji.
WSP biasanya tersedia untuk lulusan baru dalam tempoh tiga tahun pertama mereka tamat pengajian daripada politeknik atau ITE untuk wanita, dan dalam tempoh tiga tahun selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) untuk lelaki.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg