Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian nilai kesan kenaikan paras laut di 8 pulau luar pesisir S’pura

Jun 27, 2025 | 5:23 PM
offshore, island
Lapan pulau luar pesisir di Singapura ini mempunyai kegunaan khusus seperti bagi tujuan ketenteraan, penyelidikan marin, warisan, kegiatan riadah dan operasi petrokimia.  - Foto ST

Pihak berkuasa akan menjalankan satu kajian untuk menilai kesan kenaikan paras laut terhadap lapan pulau luar pesisir di Singapura, serta mencadangkan langkah-langkah perlindungan yang sesuai.

Pulau tersebut ialah: Pulau Tekong, Pulau Kusu, Pulau Bukom, Pulau Hantu, Pulau Pawai, Pulau Senang, Pulau Subar Laut dan Darat (Sister’s Islands) serta Kepulauan Selatan, atau Southern Islands, yang merangkumi Pulau Sekijang Bendera (St John’s Island) dan Pulau Lazarus.

Pada 27 Jun, agensi air negara, PUB, membuka tender bagi kajian selama dua tahun ini, yang dijangka bermula menjelang 2026.

Kajian tersebut akan mengumpul data melalui tinjauan lapangan, menilai risiko banjir serta mencadangkan piawaian perlindungan banjir.

Ia akan mengkaji langkah-langkah yang dapat melindungi pulau tersebut dan menetapkan garis masa bagi pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian yang diusulkan, kata PUB.

Setiap pulau mempunyai kegunaan khusus seperti kegunaan ketenteraan, penyelidikan marin, warisan, kegiatan riadah dan operasi petrokimia. 

Kesemua pulau ini terletak di selatan Selat Singapura, kecuali Pulau Tekong yang berada di timur laut Singapura.

Selain menjadi tempat percutian singkat, sebahagian besar pulau di perairan selatan ini juga merupakan habitat biodiversiti yang menempatkan kebanyakan terumbu karang asli yang masih terpelihara di negara ini, lapor The Straits Times (ST).

“Pulau-pulau luar pesisir kaya dengan biodiversiti dan mungkin memiliki ciri rupa bumi yang berbeza dengan tanah besar Singapura,” ujar PUB, sambil menyatakan penyelesaian yang dibangunkan perlu mengambil kira keunikan ciri-ciri tersebut.

Menurut pakar, aras tinggi pulau tersebut serupa dengan tanah besar Singapura, dan sebahagian kawasan pesisiran serta kawasan pulih guna secara amnya terletak di aras tanah yang rendah.

Menurut kajian perubahan iklim ketiga negara yang dikeluarkan pada 2024, aras laut purata negara dijangka meningkat sehingga 1.15 meter menjelang 2100.

Paras laut ini boleh meningkat lebih tinggi, sehingga 4 hingga 5 meter, apabila faktor tanah tenggelam, ombak ribut dan kegiatan pasang surut harian diambil kira.

Kenaikan paras laut antaranya boleh menenggelamkan habitat cetek seperti terumbu karang, hutan bakau dan padang rumput laut, kata Pakar Biologi Marin, Profesor Madya Huang Danwei, yang juga Timbalan Ketua Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian, Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang membolehkan habitat pesisir bergerak dan berpindah ke darat adalah paling berkesan,” kata Profesor Madya Huang.

Namun, kawasan bandar yang dilindungi tembok laut atau prasarana boleh menghalang habitat seperti hutan bakau daripada bergerak secara semula jadi ke arah daratan apabila paras laut meningkat.

Kajian garis laut Singapura dibahagi kepada lapan bahagian bagi menilai penyelesaian perlindungan paling sesuai bagi setiap kawasan.

Empat daripada kajian khusus tapak itu sedang dijalankan – meliputi kawasan City-East Coast, Pulau Jurong serta dua bahagian di barat laut negara.

Kajian 2026 pula akan menjadi asas kepada kajian khusus tapak yang akan datang melibatkan lapan pulau berkenaan, kata PUB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg