Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong gesa belia bina kekuatan diri, usaha capai potensi

Katanya semasa berucap di dialog dengan pelajar institusi pendidikan tinggi
Jul 2, 2024 | 8:25 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), bergambar bersama belia semasa satu dialog dengan pelajar yang menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi (IHL), yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 2 Julai.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), bergambar bersama belia semasa satu dialog dengan pelajar yang menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi (IHL), yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 2 Julai. - Foto ST

Apabila memilih laluan bagi melakar masa depan, belia harus mula dengan melihat keupayaan dan kekuatan yang ada dalam diri mereka sebelum berusaha mencapai potensi penuh mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Menambah, beliau berkata tiada kepakaran atau kejayaan serta-merta yang wujud dalam diri setiap individu, dan golongan muda harus gigih berusaha memupuk dan mengasah bakat mereka.

Nasihat itu dikongsi Encik Wong, juga Menteri Kewangan, ketika berucap dalam satu dialog bersama pelajar yang menuntut di Institusi Pendidikan Tinggi (IHL), yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 2 Julai.

Dialog itu, anjuran Institut Kajian Dasar (IPS), Varsity Voices dan SMU, adalah sesi penglibatan pertama Encik Wong untuk mendekati belia sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri pada 15 Mei.

Ia bertujuan mendengar pandangan dan idea golongan muda mengenai masa depan Singapura, dan bagaimana mereka dapat menyumbang.

Sekitar 900 pelajar mewakili IHL seperti universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menghadiri sesi dialog itu yang dikendalikan oleh Presiden SMU, Profesor Lily Kong.

Dalam ucapannya, Encik Wong, berkata: “Anda semua mempunyai akses kepada lebih banyak peluang daripada saya dan rakan sebaya saya ketika kami berada pada usia anda. Pada masa dahulu, orang ramai menumpukan pada beberapa kerjaya utama seperti doktor, peguam, akauntan, guru dan jurutera.

“Kini terdapat lebih banyak pilihan dan laluan kerjaya.”

Ekonomi Singapura yang kini lebih pelbagai – dengan penubuhan syarikat global besar dalam bidang aeroangkasa, bioteknologi dan farmaseutikal di sini – mencerminkan peluang pekerjaan yang berlainan, menurut Encik Wong.

Sikap dan pemikiran warga Singapura juga semakin berubah, tambah beliau.

Encik Wong memberi contoh industri penjagaan kesihatan yang tidak lagi fokus hanya pada doktor. Pengalaman dan kepakaran jururawat dan ahli fisio, antara lain, kini turut diiktiraf, kongsi beliau.

Beliau juga menyatakan bahawa lebih ramai anak muda kini memiliki perniagaan sendiri dan bersikap lebih terbuka dengan mengambil laluan yang kurang konvensional seperti menjadi atlet sepenuh masa atau pencipta kandungan digital.

“Pokoknya terdapat banyak peluang yang dapat diterokai. Adalah baik untuk mempunyai pilihan. Tetapi, ada kalanya, terlalu banyak pilihan boleh membebankan,” kata Encik Wong.

Memberi cadangannya kepada para pelajar mengenai cara memilih laluan kerjaya yang sesuai, Encik Wong berkata ia harus “bermula dari dalam diri mereka”.

“Kita semua mempunyai keupayaan dan kekuatan kita sendiri... jadi tidak perlu membandingkan diri anda dengan orang lain, atau cuba memaksa diri anda dalam pekerjaan yang tidak sesuai. Sebaliknya, lihat pada bakat anda dan berusaha gigih mencapai potensi penuh anda sendiri,” jelasnya.

“Ingatlah bahawa bakat anda tidak wujud sepenuhnya. Anda tidak mungkin menjadi pakar serta-merta. Bahkan, pembelajaran harus berterusan… ia adalah satu perjalanan.”

Menurut Encik Wong, melalui cabaran dan kegagalan adalah perkara lazim dalam kehidupan, dan golongan muda harus tabah dan terus fokus mencapai kecemerlangan.

“Di sebalik setiap kisah kejayaan, ada kegagalan. Jadi, bersiap sedia untuk menghadapi tempoh sukar dan cabaran dalam hidup anda…

“Saya menggalakkan anda menerima sikap pembelajaran dan keinginan untuk berjaya dalam apa yang kita lakukan ini, bukan sahaja ketika kita menuntut di sekolah atau selepas kita tamat pengajian, malah sepanjang hidup kita,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg