Satu jam.
Itulah masa yang diambil dari mula umpannya mengena ikan jerung sehinggalah ikan buas itu berjaya ditarik keluar ke darat.
Begitu lamanya juga masa yang diambil kaki pancing, Cik Nurshafika Salleh, untuk habis-habisan bertarung dengan ikan jerung tembaga seberat 100 kilogram itu ketika beliau memancing dari kawasan berbatu di Mazeppa Bay di Wild Coast, Afrika Selatan.
Namun setelah menempuh segala jerih payah itu, Cik Nurshafika sekadar memetik gambar kenangan dengan hasil tangkapannya sebelum melepaskan ikan itu semula ke dalam laut.
Bukan seekor dua yang beliau pancing pula, tetapi sehingga lima ikan jerung seberat antara 50 kilogram dengan 100 kilogram seekor ditarik naik sebelum dilepaskan.
Mengenang kembali pengalaman yang dianggapnya sebagai salah satu yang sukar dilupakan, wanita berusia 34 tahun itu berkata:
“Ke mana ikan jerung itu ‘lari’ tarik joran, saya pun perlu ikut sekali... mencabar dan sangat memenatkan.
“Ikan jerung adalah spesies yang terancam, jadi tidak kira di Singapura, Malaysia atau mana-mana negara, apa pun spesies yang dikategorikan sebagai terancam adalah baik jika kita melepaskannya.
“Di Afrika Selatan, mereka mengamalkan pemasangan tanda pengenalan dan lepaskan. Tujuan memasang tanda ini juga adalah untuk mengumpulkan data dalam sistem supaya dapat memantau pertumbuhan ikan tersebut.”
Di Afrika Selatan, Cik Nurshafika perlu mendapatkan lesen untuk memancing, selain mempersiapkan dirinya dengan mengenakan but stad bagi kegiatan memancing batu supaya elak daripada terjatuh apabila memancing di kawasan batu licin.
Pengalaman unik sebegitulah yang mendorong Cik Nurshafika, yang bekerja sebagai Inspektor Ujian Tanpa Musnah atau Non Destructive Testing (NDT), untuk mengembara ke luar negara bagi kegiatan memancing yang amat disukainya.
Malahan, beliau berani lakukannya secara solo dengan sejauh ini menjejakkan kaki di Malaysia, Thailand, Maldives, selain Afrika Selatan, demi memancing.
“Setiap negara mempunyai rupa bumi yang berbeza, jenis spesies ikan berlainan yang sukar didapati di Singapura. Contohnya, di Malaysia senang nak dapat ikan tenggiri tetapi di Singapura kadangkala saja. Saya ingin memancing jenis ikan yang berbeza, disebabkan itulah saya ke luar negara dan cuba ‘lawan’ ikan tersebut,” ujarnya sambil merujuk kepada proses mengili ikan yang memerlukan teknik memandangkan ikan tersebut akan meronta.
Kegiatan memancing memang tidak asing bagi Cik Nurshafika yang sekecil tiga tahun sudah kerap mengikut ibu bapa dan abangnya ke pantai untuk memancing.
Beliau mula berjinak-jinak memancing sendiri di pantai seperti Changi dan East Coast pada usia 14 tahun, sebelum ke luar negara bagi memancing buat pertama kali pada 2014 ketika berusia 23 tahun.
Pengembaraannya ke Phuket, Thailand, selama lima hari menyaksikannya menangkap beberapa ikan, antaranya tuna sirip kuning (yellowfin tuna) bersaiz kecil yang tidak boleh didapati di perairan Singapura.
Dari situlah beliau mula mencabar diri untuk ke negara lain dan menangkap ikan bersaiz besar.
Bukan sekadar suka-suka sahaja, Cik Nurshafika pernah mengambil bahagian dalam satu pertandingan memancing di Pahang, Malaysia, yang disertai lebih 1,000 pemancing.
Beliau turut melahirkan harapan agar kedua-dua anak lelakinya juga sama lasak, berpendapat bahawa memancing merupakan satu kegiatan yang mendatangkan faedah dan kemahiran berguna.
Memberi nasihat kepada mereka yang ingin mengembara solo ke luar negara bagi memancing, beliau berkata:
“Anda perlu lakukan banyak penyelidikan, dan anda juga perlu saling berkenalan dengan warga tempatan di sana kerana mereka boleh beri tip di mana untuk pergi dan tempat mana untuk elak.
“Jika anda tidak tahu, anda perlu bertanya kerana penting untuk memahami kawasan (memancing), contohnya bila air pasang surut sebelum melakukan kegiatan tersebut.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg