Semuda usia tiga tahun, Cik Nurshafika Salleh (gambar) sudah kerap mengikut ibu bapanya memancing di pantai serata Singapura.
Lama-kelamaan kegiatan tersebut menjadi sebati dalam dirinya dan beliau berpaling kepada memancing sebagai satu cara beliau mencari ketenangan sejak masih bersekolah lagi.
Namun beliau tidak menganggap memancing lebih daripada hobi semata-mata, sehinggalah sekitar sedekad yang lalu.
Pada ketika itu, semasa berusia 23 tahun, Cik Nurshafika mengambil keputusan mencabar dirinya dengan menguji kemahiran beliau memburu ikan yang tidak ditemui di perairan Singapura.
Beliau mula menjelajah mencari ikan ‘eksotik’ di negara-negara lain, dan buat masa ini, pada usia 34 tahun, Cik Nurshafika telah mengembara bukan sahaja ke negara-negara di Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand, malah ke Maldives dan Afrika Selatan.
Ikan yang diburunya juga lebih pelbagai dan lebih besar, seperti jerung berat lebih 100 kilogram yang pernah ditangkap di Afrika.
“Setiap negara mempunyai rupa bumi yang berbeza, jenis spesies ikan berlainan yang sukar diperolehi di Singapura. Contohnya, di Malaysia senang nak dapat ikan tenggiri, tetapi di Singapura, kadangkala saja.
“Saya ingin memburu jenis ikan yang berbeza. Sebab itulah saya ke luar negara dan cuba ‘lawan’ ikan tersebut,” ujar beliau, merujuk pada proses pemancing yang ‘lawan’ ikan demi mengawal ikan yang sedang ‘meronta’.
Cik Nurshafika, ibu dua anak merupakan antara sebilangan warga Singapura yang meraih keseronokan dalam kegiatan memancing dan sanggup berbelanja ribuan dolar demi melakukan kegiatan tersebut di luar negara.
Permintaan bagi kegiatan memancing di luar negara, termasuk di laut terbuka telah meningkat, menurut ‘kaki pancing’ dan syarikat yang menyediakan khidmat memancing di luar negara yang dihubungi Berita Minggu (BM)
Berkongsi pemerhatiannya, Encik Dennis Tan, 45 tahun, yang memulakan kumpulan Facebook bagi penggemar pancing Pure Passion Fishing Adventure (PPFA), berkata terdapat lonjakan sebanyak 40 peratus dalam kalangan warga Singapura yang menempah perjalanan memancing ke luar negara berbanding sebelum Covid-19.
Selain keinginan untuk ke luar negara yang terpendam ketika pergerakan disekat akibat pandemik Covid-19, Encik Tan turut mengaitkan trend ini kepada media sosial yang telah menjadikan kegiatan memancing sensasi dan tular, dengan pemancing rajin berkongsi pengembaraan dan hasil tangkapan epik mereka.
Kaki pancing, Encik Mohammad Nordin Kasmuri, 39 tahun, berkata beliau juga kaki jalan dan bak ‘menyelam sambil minum air’ apabila dapat memancing semasa melancong. Beliau memberitahu BM beliau gemar memancing dari kayak, iaitu sejenis bot didayung.
“Memancing menggunakan kayak memberi saya peluang menikmati alam. Apabila kita ke luar negara, kita juga dapat menikmati pemandangan di tempat lain.
“Memancing bukan sekadar menangkap ikan malah peluang menikmati pemandangan juga,” ujar pengasas syarikat Fish On yang menyediakan aktiviti kayak sambil memancing.
Antara beberapa negara yang telah dilawati Encik Nordin ialah Malaysia, Indonesia, Thailand, China, dan Filipina.
Selain beliau, Encik Nazri Mahat, 51 tahun, juga sanggup ke luar negara demi mencabar diri untuk menangkap ikan yang lebih pelbagai.
Walaupun beliau akur perairan setempat ‘cukup baik’ buat pemancing, beliau berkata ada pencemaran bunyi dari kapal-kapal yang berlalu di perairan Singapura.
“Di perairan Singapura sebenarnya banyak ikan, seperti ikan pari, jenahak, kerapu, unga, tetapi perairan di sini sibuk dengan kapal... bunyi dari kapal menjejas penangkapan ikan di sini. Ikan sekadar singgah dan tidak ‘duduk lama’ dalam air Singapura,” ujarnya yang bekerja menyelenggara kekili pancing.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg