Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kakitangan HDB meninggal dunia setelah lumba bot naga

Nov 17, 2025 | 11:26 AM
Allahyarham Mohamad Zaffis Ibrahim, 49 tahun, disahkan meninggal dunia pada Ahad (16 Nov) setelah rebah ketika sedang berehat selepas menyertai perlumbaan bot naga Singapore Regatta Waterfest 2025 di Kallang.
Allahyarham Mohamad Zaffis Ibrahim, 49 tahun, disahkan meninggal dunia pada Ahad (16 Nov) setelah rebah ketika sedang berehat selepas menyertai perlumbaan bot naga Singapore Regatta Waterfest 2025 di Kallang. - Foto FACEBOOK ZAFFIS IBRAHIM

Seorang kakitangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berusia 49 tahun, telah meninggal dunia selepas rebah mengambil bahagian dalam perlumbaan bot naga, Singapore Regatta Waterfest 2025, pada Ahad, 16 November.

Encik Mohamad Zaffis Ibrahim merupakan antara ahli pasukan bot naga korporat HDB, dan telah menyertai perlumbaan pagi bot naga itu yang diadakan di Pusat Sukan Air di Kallang.

Apabila dihubungi Berita Harian, HDB menyatakan rasa sedih mendalam atas kehilangan anggota kakitangan mereka.

“Kami amat sedih bahawa seorang anggota kakitangan HDB yang mewakili pasukan bot naga HDB di Singapore Regatta Waterfest 2025 pada Ahad (16 Nov) telah meninggal dunia,” kata jurucakap HDB.

HDB juga telah mengesahkan bahawa pegawai komunikasi itu yang telah bersama HDB selama 11 tahun, sedang berehat apabila beliau rebah.

“Beliau telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan, namun disahkan meninggal dunia setelah beberapa percubaan menyedarkan semula melalui pernafasan artifisial oleh kru kecemasan tidak berjaya,” kata HDB.

“Kami bersimpati dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja kami yang turut bersedih atas kehilangan mengejut ini. Kami sentiasa berhubung rapat dengan pihak keluarga dan menawarkan sokongan serta bantuan sepenuhnya di saat yang sukar ini,” tambah HDB lagi.

BH juga telah menghubungi penganjur Kallang Alive Sport Management dan menantikan respons mereka.

BH difahamkan bahawa Encik Zaffis meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki. Beliau adalah abang sulung kepada tiga adik beradik.

Apabila dihubungi BH, pihak keluarga telah memohon untuk diberikan ruang dan masa peribadi.

BH juga difahamkan bahawa urusan jenazah Allahyarham Mohamad Zaffis akan disempurnakan pada Isnin (17 Nov).

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan kepada BH bahawa mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 16 November, 12.20 tengah hari.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar, dan kemudian disahkan meninggal dunia.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak mengesyaki sebarang penglibatan unsur jenayah. Siasatan polis masih dijalankan,” kata SPF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg