Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kalau saya boleh, awak pun boleh’

Nov 20, 2024 | 8:19 PM
Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli, murid Sekolah Rendah North View lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2024.
Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli, murid Sekolah Rendah North View lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menulis mungkin satu tugas yang mudah bagi kebanyakan orang, namun sebaliknya bagi Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli, 12 tahun.

Ridhwan, yang berkerusi roda, mengalami kesukaran memegang pen atau menulis selepas jangkitan teruk pada usia 10 tahun yang menyebabkan dia perlu menggunakan mesin bantuan hayat.

Dia juga mengalami strok yang secara kekal menjejas kemahiran bergerak dan kebolehan lain, seperti berfikir, belajar dan memproses maklumat.

Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran, Ridhwan meneruskan tekad, dengan bantuan rawatan terapi dan intensif, untuk menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Berkat usahanya, murid Sekolah Rendah North View adalah antara 98.5 peratus pelajar Darjah 6 di Singapura yang lulus peperiksaan tersebut.

Seramai 40,894 pelajar Darjah 6 menduduki PSLE pada 2024. 

Bercakap dengan Berita Harian (BH) di sekolahnya, ibu Ridhwan, Cik Siti Rizana Mohamed Sudar, 38 tahun, berkata:

“Mula-mula Ridhwan mengalami sesak nafas dan diserang sawan yang menyebabkan kami membawanya ke hospital. Apabila dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU), dia diserang sakit jantung dan kemudian bergantung pada mesin sokongan hayat selama 14 hari.

“Peluang untuk dia terus hidup hanyalah satu peratus kerana jantungnya lemah dan terdapat darah beku.

“Dalam erti kata lain, dia mengalami serangan jantung dan komplikasi lain. Apabila dia sedar, dia diserang strok dalam keadaan mamai, menyebabkan dia lumpuh dari pinggang ke bawah. Ridhwan juga tidak pergi sekolah selama satu penggal.”

Ridhwan, yang pertuturannya turut terjejas, menjalani terapi dan pemulihan di AWWA, yang masih dihadirinya sekarang.

Antara aktivitinya termasuk mempelajari cara memakai pakaian sendiri untuk menjadi lebih berdikari dan bersenam untuk menguatkan otot tangan serta kakinya, tambah ayahnya, Encik Mohammad Fadli Ramlan, 43 tahun.

Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli, yang keupayaannya untuk memegang pen dan menulis terjejas, kini boleh berbuat demikian.
Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli, yang keupayaannya untuk memegang pen dan menulis terjejas, kini boleh berbuat demikian. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setelah pulih, Ridhwan kembali ke sekolah dan mengambil mata pelajaran peringkat asas untuk PSLE, selepas beralih daripada mata pelajaran peringkat standard pada 2024, yang membantu mengurangkan tekanan dan tidak ketinggalan di dalam kelas.

Encik Fadli, yang bekerja sebagai pemandu penghantaran, menghantar Ridhwan pergi dan balik sekolah, manakala Cik Siti, seorang suri rumah yang merupakan penjaga sepenuh masa Ridhwan, akan ke sekolah setiap hari semasa waktu rehat untuk menemani anaknya.

Walaupun kekal berkerusi roda, Ridhwan yang merupakan anak tunggal, kini kembali sihat.

Dia ditemani kededua orang tuanya untuk mengambil keputusan PSLE pada 20 November yang juga merupakan hari lahirnya.

“Saya berasa sedih kerana saya akan tinggalkan sekolah dan guru-guru saya.

“Tetapi, kalau saya boleh (lalui semua ini), awak pun boleh,” ujar Ridhwan, ketika ditanya mengenai cabaran dan hasil yang dicapainya.

Apa pun, dia tidak sabar-sabar melanjutkan pelajaran di sekolah menengah pilihannya, iaitu Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim.

“Kami akan sentiasa menyokongnya sepanjang pelajaran dia kerana kami percaya walaupun dengan kekurangan dia, kalau diberi peluang, insya Allah Ridhwan akan berjaya,” kata Encik Fadli.

Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli (tengah) bersama ibunya, Cik Siti Rizana Mohamed Sudar (kanan) dan ayahnya, Encik Mohammad Fadli Ramlan (kiri) pada hari keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di Sekolah Rendah North View pada 20 November.
Mohammad Ridhwan Mohammad Fadli (tengah) bersama ibunya, Cik Siti Rizana Mohamed Sudar (kanan) dan ayahnya, Encik Mohammad Fadli Ramlan (kiri) pada hari keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di Sekolah Rendah North View pada 20 November. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sambil menyatakan beliau dan isteri menerima anaknya seadanya, Encik Fadli, dengan nada sedih, meluahkan: “Kami berharap Ridhwan akan berjaya dalam apa jua kerjaya yang dia inginkan dan semoga dia diberikan kemudahan dalam pelajaran dan pekerjaan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg