Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Kami ibarat kereta antik’: Pasangan warga emas tekad jaga kesihatan, kekal aktif
Pasangan suami isteri manfaatkan program Santunan Emas untuk jaga kesihatan
‘Kami ibarat kereta antik’: Pasangan warga emas tekad jaga kesihatan, kekal aktif
Bagi Encik Samsudin Ali, tubuh manusia yang semakin dimamah usia ibarat sebuah kereta antik yang memerlukan penjagaan berterusan agar dapat terus berfungsi dengan baik.
Beliau percaya usia lanjut bukan alasan untuk warga emas berhenti aktif atau menyumbang kepada masyarakat, sebaliknya kesihatan perlu dijaga supaya mereka dapat terus berdikari.
“Maklumlah, kami ini ibarat ‘kereta antik’, kalau tak digunakan dengan sempurna, nanti rosak binasa,” katanya sambil tertawa ketika ditemui Berita Minggu (BM).
Kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan dan membuat persiapan menghadapi hari tua turut menjadi lebih dekat dengan kehidupan Encik Samsudin, 67 tahun, selepas kehilangan menantu lelakinya.
Mantan Penolong Pengurus Stesen SMRT itu berhenti bekerja pada 2021 selepas hampir 30 tahun berkhidmat bagi membantu menjaga keluarga dan cucunya susulan pemergian menantunya.
Bersama isterinya, Cik Norlelah Md Shah, 61 tahun, pasangan yang mempunyai tiga anak dan empat cucu berusia antara tujuh dengan 13 tahun itu, kini giat menyertai sesi Santunan Emas di Masjid Al-Muttaqin setiap pagi Rabu.
Mereka antara peserta yang menghadiri forum Sembang-Sembang Santunan Emas, anjuran bersama Masjid Al-Muttaqin dan Berita Harian (BH) pada 31 Oktober, yang membincangkan pengurusan kedukaan serta kesejahteraan emosi warga emas.
Sesi forum itu diadakan sempena pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan NHG Health bagi memperkukuh penjagaan kesihatan pencegahan, pendidikan kesihatan dan khidmat rujukan kepada warga emas.
Encik Samsudin dan Cik Norlelah menyertai program Santunan Emas sejak ia diperkenalkan pada Oktober 2024 dan turut menjadi sukarelawan setiap Rabu bagi membantu urusan pendaftaran peserta.
Menurut Encik Samsudin, kegiatan mingguan itu memberi mereka peluang keluar rumah, bertemu rakan sebaya dan mengelakkan rasa kesunyian.
“Santunan Emas sangat baik untuk kami warga tua kerana ia memberi bimbingan supaya kami tidak rasa kesunyian. Kami dapat keluar rumah dan berjumpa kawan-kawan,” terangnya.
Menurutnya, pengisian kuliah agama yang dekat dengan kehidupan seharian dan pengalaman peribadi warga emas turut menjadi daya tarikan program tersebut.
“Apabila kami bertemu peserta lain di sini, mereka berasa lebih bersemangat dan gembira untuk datang lagi.
“Apa yang disampaikan berkait rapat dengan kehidupan dan keadaan diri kami. Itulah yang membuatkan peserta ingin tahu dan belajar lebih banyak,” kongsi Encik Samsudin.
Selain mengikuti kuliah agama dan kegiatan senaman, pasangan itu turut memanfaatkan khidmat kesihatan yang disediakan di masjid, termasuk pemeriksaan pendengaran, mata dan suntikan vaksin.
Cik Norlelah berkata mereka juga menerima nasihat daripada jururawat di masjid mengenai pemakanan, pengambilan ubat mengikut jadual, serta kepentingan mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Kami juga mengambil peluang mendapatkan suntikan vaksin di sini kerana prosesnya sangat mudah... tak perlu tunggu lama seperti di poliklinik,” jelasnya.
Malah, mereka turut membuat persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan masalah kesihatan pada masa hadapan, termasuk menguruskan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), insurans dan kewangan perubatan.
Persiapan itu, jelas mereka, bertujuan memastikan keperluan rawatan dapat ditampung sekiranya mengalami keuzuran seperti demensia, tanpa membebankan anak mereka.
Bagi pasangan itu, matlamat mereka bukan sekadar mengelakkan penyakit, tetapi mengekalkan keupayaan menjalani kehidupan seharian dan menunaikan ibadah dengan selesa.
“Kami harap untuk terus boleh berdiri semasa solat tanpa sakit lutut,” ujar Cik Norlelah sambil tersenyum.