Seorang pengarah di syarikat pengurusan prasarana dan alam sekitar Chye Thiam Maintenance, Dr Adrian Ang, 41 tahun, telah dilantik sebagai naib pengerusi cawangan Bedok Reservoir-Punggol Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Encik Victor Lye, pengerusi cawangan tersebut yang bertanding di GRC Aljunied sejak 2015, mengumumkan demikian dalam satu catatan Facebook pada 24 Januari, selepas mengagihkan limau kepada kakitangan prasekolah PCF Sparkletots di kawasan tersebut menjelang Tahun Baru Cina.
Bedok Reservoir-Punggol merupakan sebahagian daripada GRC Aljunied, selain Eunos, Kaki Bukit, Paya Lebar dan Serangoon, yang dipegang Parti Pekerja (WP) sejak Pilihan Raya Umum (GE) 2011.
Dalam satu catatan Facebook pada 23 Januari, Dr Ang berkata beliau kekal komited untuk memahami dan mendengar keperluan penduduk serta akan menawarkan sokongan seberapa yang boleh.
Tambahnya, beliau juga sering bertemu dengan penduduk Bedok Reservoir-Punggol di kedai kopi.
Pada awal Januari, beliau juga telah menghadiri majlis anugerah biasiswa dan Edusave di kawasan tersebut serta membawa warga emas dari Rumah Jagaan Thye Hua Kwan bersiar-siar ke pusat beli-belah Jewel di Lapangan Terbang Changi.
Dr Ang pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan ketua bahagian di Politeknik Temasek. Beliau menyambut kelahiran anak kelimanya pada Januari.
Sebelum ini, beliau dilihat bersama Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh mengadakan lawatan ke pasar di kawasan itu. Baru-baru ini, beliau berkunjung ke rumah penduduk bersama Encik Lye di GRC Aljunied.
Berita pelantikannya sebagai naib pengerusi cawangan PAP itu datang beberapa hari selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dibentuk pada 22 Januari. GE 2025 harus diadakan selewat-lewatnya November.
PAP mengumumkan pada 23 Januari bahawa Cik Bernadette Giam, 38 tahun, telah dilantik sebagai pengerusi baru cawangan PAP di Sengkang East. Cawangan itu terletak di GRC Sengkang, yang dikuasai WP sejak GE2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg