Kandungan media sosial diharap cuit hati, tarik lebih ramai jemaah ke Masjid Assyakirin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kandungan media sosial diharap cuit hati, tarik lebih ramai jemaah ke Masjid Assyakirin

Pacu usaha bagi program bersandar kepada nilai kemasyarakatan
Feb 7, 2026 | 5:30 AM

Kandungan media sosial diharap cuit hati, tarik lebih ramai jemaah ke Masjid Assyakirin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, Masjid Assyakirin, mosque, social media, Pak Cik Nafsu, SalamSG
Kandungan media sosial yang berunsur jenaka dengan ciptaan watak ‘Pak Cik Nafsu’ bermatlamat untuk menyampaikan mesej tentang nilai ‘akhlak’ dan ‘amal’ yang dikhususkan SalamSG. - Foto MASJID ASSYAKIRIN

Dengan video yang menerapkan unsur jenaka ‘slapstick’ mengenai tema Ramadan dan Zulhijjah, Masjid Assyakirin sejak beberapa tahun ini telah berjaya memanfaatkan wadah media sosial mereka untuk meluaskan jangkauan mereka kepada masyarakat.

Usaha Masjid Assyakirin dalam memanfaatkan wadah dalam talian telah dipergiatkan lagi sejak 2023, sambil mencipta kandungan video tentang mesej-mesej tertentu yang dikhususkan oleh SalamSG.

Ia juga merupakan cara masjid yang terletak di 550 Yung An Road itu mendekati dan ‘mendidik’ masyarakat Islam melalui alam maya.

Hasilnya, jumlah jemaah dan peserta kian meningkat sebanyak 30 peratus dalam setiap program fizikal yang diadakan oleh masjid tersebut, kata Timbalan Pengurus Kedua Masjid Assyakirin, Encik Ahmadusshafa Zainudin.

Menurut Encik Ahmadusshafa, 39 tahun, pendekatan media sosial ini telah mencapai misi besar Masjid Assyakirin, iaitu Mosque Beyond the Mosque (Masjid di luar batasan masjid).

Misi Mosque Beyond the Mosque, atau usaha mewujudkan peranan melangkaui batas fizikal masjid, ini bertujuan mendekati masyarakat tidak kira latar belakang.

Timbalan Pengurus Kedua Masjid Assyakirin, Encik Ahmadusshafa Zainudin, berkata imej masjid dalam media sosial yang mesra masyarakat dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat ke masjid.
Timbalan Pengurus Kedua Masjid Assyakirin, Encik Ahmadusshafa Zainudin, berkata imej masjid dalam media sosial yang mesra masyarakat dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat ke masjid. - Foto BH oleh KHALID BABA

Encik Ahmadusshafa berkata:

“Usaha-usaha media sosial ini diterima baik oleh masyarakat, kerana secara tidak langsung, ia mencerminkan bahawa masjid dan asatizah ‘mesra masyarakat’ dan mudah untuk didekati.”

Nilai dan mesej seperti ‘akhlak’ dan ‘amal’ yang ditetapkan oleh SalamSG telah disampaikan dengan pendekatan yang kreatif melalui ciptaan watak ‘Pak Cik Nafsu’ yang mencuit hati masyarakat.

Atas semangat kolaborasi sempena kempen SalamSG, Masjid Assyakirin telah bekerjasama dengan beberapa pihak, antaranya Masjid Al-Istighfar.

Malah, mereka juga turut berkolaborasi bersama pempengaruh seperti Juffri Alui dan Yussof Rasid untuk menghasilkan kandungan yang menarik dan seiring dengan kempen SalamSG.

Justeru, ini telah berjaya menjadi tarikan kepada pelbagai lapisan jemaah untuk ‘bermesra’ dengan program Masjid Assyakirin dan para asatizah di sana.

“Demografi yang hadir ke masjid juga berubah. Lebih ramai keluarga muda dan belia yang hadir ke program-program masjid dan mereka kenal orang yang muncul dalam video kami seperti watak ‘Pak Cik Nafsu’,” jelas Encik Ahmadusshafa.

Bermula daripada ciptaan kandungan bagi menyampaikan mesej-mesej tertentu, yang kemudian tular dalam kalangan masyarakat, ia membawa kepada matlamat dan usaha yang lebih besar.

“Dengan penularan dan ‘imej’ masjid yang lebih mesra masyarakat, ia lebih mudah untuk kita mendekati masyarakat atau lebih khusus, penduduk Boon Lay dan Taman Jurong.”

Dengan kelebihan ini, Masjid Assyakirin telah kian memacukan usaha bagi mengadakan program-program yang bertunjangkan nilai kemasyarakatan.

“Maka, ini mendorong kita untuk menjalankan usaha seperti Qaryah 2.0, #AkademiAssyakirin dan #KampungAssyakirin untuk jadikan program-program kami lebih jelas kepada masyarakat dan bagi menyalurkan mereka kepada masjid.”

“Justeru, kami juga telah melebarkan usaha pendekatan (outreach) ke blok flat sewa dan kami dapat menarik golongan yang ingin berhijrah untuk menyertai program kami seperti Akademi Hijrah dan pembelajaran Iqra,” tambah Encik Ahmadusshafa.

Berkat usaha kreatif melalui media sosial yang membuahkan hasil, Masjid Assyakirin bercadang untuk meneruskan usaha ciptaan kandungan pada masa akan datang.

Justeru, sempena Festival SalamSG yang diadakan buat julung-julung kali pada 7 Februari, mereka sedang berada dalam perancangan untuk menghasilkan kandungan baru yang selari dengan nilai-nilai teras SalamSG kali ini.

View post on Instagram
 

“Usaha-usaha media sosial ini diterima baik oleh masyarakat, kerana secara tidak langsung, ia mencerminkan bahawa masjid dan asatizah ‘mesra masyarakat’ dan mudah untuk didekati.”
Encik Ahmadusshafa Zainudin, Timbalan Pengurus Kedua Masjid Assyakirin.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg