‘Santunan Emas’ bantu Masjid Al-Muttaqin bina keupayaan siber bersama masjid lain
‘Santunan Emas’ bantu Masjid Al-Muttaqin bina keupayaan siber bersama masjid lain
Tidak berapa lama dahulu, kelas agama secara fizikal yang dianjurkan oleh Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio Avenue 6 biasanya menarik penyertaan sekitar 20 hingga 30 orang.
Namun buat masa ini, kelas yang sama biasanya menarik sekitar 600 peserta apabila disiarkan di akaun media sosial milik 30 masjid, kata Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abd Manaf.
Usaha menghebohkan acara masjid di media sosial dan menyiarkan kelas atau kuliah menerusi wadah itu tidak berlaku secara tidak sengaja.
Sebaliknya, ia adalah sebahagian strategi untuk memperluas jangkauan dengan cara menggunakan teknologi dan rangkaian hubungan milik masjid-masjid individu di bawah gerakan SalamSG.
Sejak dilancarkan pada 2022, SalamSG telah membuka peluang baru kepada masjid-masjid di Singapura untuk bekerjasama merentas kawasan, sekali gus mengukuhkan jaringan sokongan yang memberi manfaat langsung kepada jemaah.
Usaha tersebut membolehkan program masjid mencapai jangkauan lebih luas berbanding sebelum ini.
Ia pertama kali dilakukan secara besar-besaran semasa pandemik Covid-19 melanda, ujar Encik Fairus.
Beliau yang juga menggalas jawatan sama di Masjid Darul Makmur di Yishun menambah, semasa pandemik, program jangkauan masjid menjadi terhad apabila rumah ibadat ditutup dan kegiatan perlu dialihkan ke alam maya.
Walau akur pandemik Covid-19 menjadi pemangkin kepada perubahan – pendekatan masjid beralih ke medan digital dalam mendekati masyarakat – beliau berkata ia tetap mencetus keprihatinan.
Ini memandangkan tidak semua masjid mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kandungan dalam talian.
Namun keupayaan itu boleh dipertingkat dalam masa singkat apabila pihak masjid saling bekerjasama, tambahnya.
“Wabak Covid-19 telah mengehadkan cara kami melaksanakan program keagamaan, yang sebelum ini lazimnya dilakukan secara fizikal.
“Namun, kerjasama kukuh antara masjid membantu mengekang kesannya, dengan setiap pihak saling memperkasa kemahiran tersebut kepada masjid lain,” kata Encik Fairus.
Beliau memberi contoh program, Santunan Emas, yang menyediakan pengisian rohani di samping menyokong aspek jasmani, kognitif dan sosial bagi golongan warga emas dan antara program paling banyak mendapat sambutan di Masjid Al-Muttaqin.
Dilaksanakan buat kali pertama pada Oktober 2024, program tersebut pada masa ini telah diperluas ke masjid lain dan sejak 2025, ke pusat penjagaan warga emas.
Menurut Encik Fairus, program tersebut, yang turut melibatkan Masjid Yusof Ishak di Woodlands dan Masjid Darul Makmur, telah mencatat peningkatan ketara dari segi sambutan, sekali gus menjadi antara contoh terbaik hasil kerjasama erat antara pihak masjid.
Peningkatan kadar penyertaan itu membolehkan pihak masjid memahami dengan lebih mendalam keperluan masyarakat setempat, tambah beliau.
“Kami mendapati ramai warga emas sebenarnya mahu mengikuti program masjid, tetapi berdepan kekangan gerakan.
“Dapatan seperti ini penting bagi kami untuk terus menyediakan program yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat,” jelas beliau, sambil menambah bahawa penemuan itu amat signifikan memandangkan sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk setempat merupakan warga emas.
Selain program, Santunan Emas, inisiatif lain seperti SalamSG Memberi, yang diterajui oleh Masjid Ahmad Ibrahim dengan kerjasama Masjid Al-Muttaqin, turut mencerminkan iltizam berterusan bagi pihak masjid untuk berganding bahu demi kesejahteraan jemaah dan masyarakat setempat.
“Di sebalik kejayaan program-program seperti ini, ialah usaha dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
“Inilah semangat yang amat kami hargai dan ingin terus serlahkan demi kebaikan jemaah,” ujar Encik Fairus.
Dalam pada itu, Encik Fairus berkata perkembangan positif seperti itu menjadi galakan bagi jemaah dan kepimpinan masjid, termasuk beliau, yang telah menggalas jawatan Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Muttaqin sejak 2019.
Dalam merancang langkah seterusnya, Encik Fairus berkata Masjid Al-Muttaqin akan terus menyesuaikan pendekatan mengikut perubahan demografi jemaah, sambil mengekalkan semangat kerjasama bersama masjid dan rakan masyarakat lain.
“Keperluan jemaah akan sentiasa berubah. Apa yang penting bagi kami adalah memastikan masjid kekal terhubung, relevan dan memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
“
“Kami mendapati ramai warga emas sebenarnya mahu mengikuti program masjid, tetapi berdepan kekangan gerakan. Dapatan seperti ini penting bagi kami untuk terus menyediakan program yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.”
