Kapal berdaftar S’pura terbakar dekat pantai China, 2 kru Myanmar maut
Kapal berdaftar S’pura terbakar dekat pantai China, 2 kru Myanmar maut
Dua anggota kru kapal pengangkut pukal berdaftar Singapura maut selepas kapal tersebut terbakar berdekatan pantai China pada 17 Februari.
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata dalam satu kenyataan pada 18 Februari seorang lagi anggota kru telah dipindahkan ke kemudahan perubatan berdekatan pantai untuk rawatan lanjut.
Terdapat 25 anggota kru dari Myanmar dan tiada rakyat Singapura di atas kapal tersebut, tambah MPA.
Kebakaran yang berlaku di ruang enjin kapal pengangkut pukal MANDY pada sekitar 7.35 malam waktu Singapura itu telah dipadamkan oleh kru kapal.
Syarikat tersebut sedang membuat persiapan untuk menarik kapal tersebut ke Pelabuhan Yantai di China, kata MPA.
Tiada pencemaran dilaporkan.
“MPA mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban,” kata MPA, sambil menambah bahawa ia sedang berhubung dengan syarikat dan pihak berkuasa China yang berkaitan untuk memberikan bantuan yang diperlukan.
MPA berkata ia akan menyiasat insiden tersebut.

