Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelabuhan S’pura catat rekod baru urus kontena, kapal

Jan 13, 2026 | 6:28 PM
Rekod baru, kontena, kapal tiba, pelabuhan S’pura 2025
Rekod tertinggi yang dicapai oleh pelabuhan Singapura pada 2025 menyerlahkan peranannya sebagai “pelabuhan pilihan”, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai. - Foto ST

Pelabuhan Singapura mengendalikan 44.66 juta kontena perkapalan, atau unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), pada 2025 – rekod tertingginya – mengatasi 41.12 juta pada 2024.

Ini adalah peningkatan 8.6 peratus dalam bilangan kontena atau TEU yang dikendalikan – anggaran piawai industri maritim untuk trafik kontena – dari 2024, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 13 Januari.

Ketibaan kapal juga mencapai rekod baru, dengan ketibaan kapal tahunan meningkat kepada 3.22 bilion tan kasar – meningkat 3.5 peratus daripada 3.11 bilion tan kasar yang dicatatkan setahun sebelumnya.

Tan kasar mewakili gabungan isi padu dalaman semua kapal dalam setahun, termasuk ruang enjin dan ruang bukan kargo. Ia adalah ukuran industri maritim biasa bagi trafik kapal yang singgah di pelabuhan.

Angka-angka ini menggariskan “peranan kekal negara ini sebagai pelabuhan pilihan”, dan kedudukannya sebagai hab maritim dan perdagangan global, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, pada Perbualan Tahun Baru Yayasan Maritim Singapura.

Acara tahunan industri maritim ini telah diadakan di hotel Parkroyal Collection Marina Bay.

Walaupun begitu, Encik Murali memberi amaran bahawa “sedang kita memasuki 2026, persekitaran luaran kekal mencabar dengan ketidakpastian berterusan daripada ketegangan geopolitik, perubahan tarif dan ancaman gangguan rantaian bekalan”.

Tetapi di sebalik tekanan ini, perdagangan laut global dijangka berkembang, dan Encik Murali menyatakan keyakinannya bahawa sektor maritim Singapura akan terus catat kemajuan.

Walaupun rekod tertinggi dicapai dalam beberapa bidang, jumlah kargo yang dikendalikan oleh pelabuhan Singapura turun 1.4 peratus, daripada 622.67 juta tan pada 2024 kepada 614.34 juta tan pada 2025.

Angka itu kekal di bawah paras prapandemik iaitu 626.52 juta tan metrik yang dicatatkan pada 2019.

Pada 2025, jumlah jualan bunker, merujuk kepada bahan api yang dibekalkan kepada kapal, mencecah paras tertinggi baru sebanyak 56.77 juta tan, dengan bahan api alternatif mencatatkan momentum yang kukuh.

Penjualan bahan api tersebut meningkat daripada 1.35 juta tan pada 2024 kepada 1.95 juta tan pada 2025, sebahagian besarnya didorong oleh campuran biominyak.

Campuran sedemikian menggabungkan bahan api marin konvensional dengan biominyak yang diperoleh daripada biojisim, seperti biosisa pertanian, atau bahan organik yang dihasilkan daripada pengeluaran pertanian.

MPA berkata 1.38 juta tan campuran biominyak telah dijual pada 2025, meningkat daripada 0.88 juta tan pada tahun sebelumnya.

Gas asli cecair (LNG), yang dilihat secara meluas sebagai bahan api peralihan kepada pelepasan karbon bersih sifar, menyaksikan peningkatan jualan yang lebih sederhana, meningkat daripada 0.46 juta tan kepada 0.57 juta tan.

Metanol, walaupun hanya membentuk peratusan kecil bahan api marin alternatif, mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi – dengan jualan hampir dua kali ganda daripada 1,626 tan pada 2024 kepada 3,013 tan pada 2025.

Sepanjang 2025, 35 syarikat maritim dan syarikat baru memulakan atau mengembangkan operasi di Singapura, daripada lebih 200 kumpulan perkapalan antarabangsa yang beroperasi di negara ini.

Syarikat maritim utama membelanjakan sejumlah kira-kira $5 bilion pada 2025. Pada 2024, angka ini ialah $5.2 bilion, dan pada 2023, $4.8 bilion.

Memandang ke hadapan, Encik Murali menegaskan bahawa Singapura mesti merebut peluang dengan memanfaatkan trend utama yang mempengaruhi sektor itu, iaitu pendigitalan dan penyahkarbonan.

Dalam bidang digital, MPA bekerjasama dengan Microsoft dan Amazon Web Services dalam pelbagai perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan, untuk meningkatkan operasi dan menyokong peningkatan kemahiran pekerja, antara lain.

Pihak berkuasa juga telah melancarkan AI untuk menjalankan fungsi pentadbiran, seperti pengeluaran sijil insurans kapal, dengan rancangan untuk mendigitalkan fungsi lain pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg