Tumpahan lebih 30 tan metrik bahan campuran minyak dan air berlaku di kawasan lautan antara Pulau Bukom dan Bukom Kecil pada 20 Oktober, jelas syarikat petrokimia Shell.
Dalam satu kenyataan bersama pada 21 Oktober, beberapa agensi pemerintah berkata mereka sedang bekerjasama rapat dengan Shell bagi membersihkan tumpahan minyak berkenaan.
Sehingga 3 petang, 21 Oktober, tidak ada kesan tumpahan minyak dikesan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah mengerahkan sistem buster atau peranti penahan terapung minyak dan pemulihan khusus yang digunakan dari kapal, melepasi Changi, menuju ke ruang masuk bahagian timur Selat Johor bagi mengumpulkan tompokan minyak dan mencegah kemungkinan penyebaran minyak di luar perairan pelabuhan.
Satu lagi sistem buster juga digunakan di kawasan barat Singapura sebagai langkah berjaga-jaga.
Shell, dalam satu kenyataan berasingan, menambah bahawa ia telah menggunakan alat pembendungan atau boom, bot antipencemaran dan penyemburan bahan kimia bagi membendung dan memecahkan minyak sebagai sebahagian daripada usaha pembersihan yang berterusan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada berenang dan melakukan aktiviti laut atau sukan air berhampiran pantai di East Coast Park, Pulau Kusu, Pulau St John dan Pulau Lazarus, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
NEA menambah bahawa ia telah menggunakan pelampung pembendungan di terusan dan kawasan utama East Coast Park dan West Coast Park.
Sementara itu, orang ramai boleh meneruskan kegiatan air di Pantai Tanjong, Pantai Palawan dan Pantai Siloso di Sentosa, kata jurucakap Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) pada 21 Oktober.
Dalam catatan Facebook, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata tiada minyak dikesan di Taman Marin Sisters’ Islands, Rizab Alam Semula Jadi Labrador dan West Coast Park setakat 21 Oktober.
Namun, pelampung pembendungan telah digunakan untuk melindungi lagun di Taman Marin Sisters’ Islands, Berlayer Creek dan Rocky Shore di Rizab Alam Semula Jadi Labrador serta hutan bakau di West Coast Park.
Agensi air nasional PUB pula berkata setakat 21 Oktober, tiada minyak dikesan di Loji Desalinasi Timur Keppel Marina dan Loji Desalinasi Pulau Jurong, yang paling hampir dengan kebocoran minyak.
JTC pula menasihati syarikat di Jurong Island dan kawasan berhampiran agar mengambil langkah berjaga-jaga.
Sejauh ini, tiada laporan mengenai kawasan ternak ikan yang terjejas oleh limpahan minyak ini.
Bagainmanapun, Agensi Makanan Singapura (SFA) berurusan rapat dengan penternak ikan dan menasihati mereka agar mengambil langkah berjaga-jaga menyusuli kejadian ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg