Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales, salah satu kapal perang terbesar di dunia, telah berlabuh di Pusat Pelayaran Marina Bay (MBCC), Singapura.
Kapal itu, dengan dek penerbangan sebesar tiga padang bola sepak, sedang melakukan kunjungan pelabuhan rasmi pertama di rantau ini sebagai sebahagian kerahan berbilang negara, yang dipimpin Britain.
Semasa berlabuh di Singapura, kapal itu akan menyambut sekitar 600 orang awam yang memohon tiket percuma pada awal 2025, lapor The Straits Times (ST).
Kegiatan yang dianjurkan termasuk Hari Industri Pertahanan dan Keselamatan, dengan sekitar 30 syarikat Britain mengadakan pameran di hangar kapal tersebut, serta simposium sains dan teknologi yang melibatkan pakar dari kededua negara dalam membincangkan perkembangan teknologi.
Kapal itu juga akan menganjurkan perbincangan panel mengenai pertahanan dan keselamatan serta pertandingan e-sukan persahabatan antara tentera Britain dengan Singapura.
Ketika kapal itu berlabuh, ia disambut oleh pancaragam Royal Marines serta orang ramai termasuk pelajar-pelajar sekolah yang mengibarkan bendera Britain dan Singapura.
Di atas kapal, anak-anak kapal berdiri tegak di dek, dalam tradisi tentera laut yang dikenali sebagai Prosedur Alpha.
Kedatangan HMS Prince of Wales ini merupakan satu gambaran penting tentang komitmen Britain terhadap Indo-Pasifik, kata Pesuruhjaya Tinggi Britain, Encik Nik Mehta.
Kunjungan ini berlaku di tengah-tengah persekitaran sejagat yang bergolak, dan terdapat “keperluan untuk menunjukkan kepentingan kestabilan di seluruh dunia, kestabilan di Indo-Pasifik dan kestabilan di Euro-Atlantik,” tambah Encik Mehta dalam taklimat media pada 19 Jun sebelum ketibaan kapal tersebut.
Kapal pengangkut pesawat itu merupakan kapal utama dalam Kumpulan Kapal Serangan Pengangkut Britain, yang merangkumi beberapa kapal Tentera Laut Diraja Britain, serta kapal tentera dari negara-negara lain.
Kunjungan itu adalah sebahagian daripada kerahan lapan bulan yang dikenali sebagai, ‘Operasi Highmast’, yang berlepas dari Britain pada April, dengan kapal-kapal itu berlayar dari Atlantik ke Pasifik.
HMS Prince of Wales salah satu daripada dua kapal pengangkut pesawat yang kini dikendalikan oleh Tentera Laut Britain, masing-masing mempunyai kemampuan membawa sehingga 1,600 askar dan 36 pesawat pejuang F-35B serta empat helikopter Merlin.
Pada 2021, HMS Queen Elizabeth, berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Changi semasa pelaksanaan operasi pertamanya, sebagai sebahagian daripada kumpulan serangan kapal induk pertama United Kingdom (UK).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg