Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (GEN) Datuk Mohd Nizam Jaffar, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, di Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 28 Mei.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak mengesahkan semula hubungan pertahanan akrab yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan Singapura, serta menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dua hala antara tentera Angkatan Bersenjata Malaysia (ATM) bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Lawatan Jeneral Nizam menggariskan hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan lama terjalin antara Singapura dengan Malaysia, menurut kenyataan Mindef pada 28 Mei.
Tambah Mindef, lawatan sulung beliau ke Singapura hingga 28 Mei turut merangkumi pertemuan dengan Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya Aaron Beng, selepas beliau memeriksa Perbarisan Kehormatan di Mindef.
Jeneral Nizam juga menyampaikan ucapan di Institut Ketenteraan Safti sebagai penceramah undangan dalam Siri Penceramah Unggul.
Ini disusuli dengan lawatan ke Pusat Penyebaran Maklumat Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) serta Kemudahan Maklumat Menentang Keganasan di RSS Singapura – Pangkalan Tentera Laut Changi, bagi meninjau usaha kerjasama pelbagai hala dalam menangani cabaran keselamatan maritim dan ancaman pengganasan.
Jeneral Nizam juga menyertai Sidang Ketua Pertahanan Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-23 dan Dialog Shangri-La ke-22.
“Interaksi tetap termasuk latihan dua hala, lawatan rasmi, pertukaran profesional dan penyertaan kursus bersilang negara telah memperkukuh hubungan profesional serta persefahaman antara anggota kededua pihak,” tambah Mindef lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg