Topik diikuti
Pergi ke BHkuKapal kontena berdaftar S’pura langgar tebing sungai di India
Sebuah kapal kontena dengan bendera Singapura melanggar tebing sungai di Bengala Barat, India, pada 12 Ogos, dipercayai akibat keadaan air yang bergelora dan kemungkinan kerosakan sistem kemudi.
Sebuah video kejadian yang dimuat naik di media sosial pada 12 Ogos menunjukkan kapal yang sarat dengan kontena bergerak terus ke arah tebing sungai sebelum melanggar benteng.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Menurut platform penjejakan kapal MarineTraffic, kapal Nawata Bhum ialah kapal kontena berbendera Singapura.
Kapal itu berlepas dari Pelabuhan Klang, Malaysia, pada 3 Ogos dan dalam perjalanan menuju Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee di Kolkata.
Difahamkan kapal itu melanggar benteng berhampiran Diamond Harbour sekitar 11 pagi waktu tempatan (1.30 petang waktu Singapura) pada 12 Ogos.
Pelabuhan itu terletak kira-kira 50 kilometer di selatan Kolkata.
MarineTraffic berkata kapal berkenaan “gagal membelok daripada satu selekoh sungai” di Diamond Harbour selepas belayar kira-kira 50 kilometer dari pelabuhan.
Platform penjejakan itu berkata kegagalan kapal untuk membelok dipercayai berpunca terutamanya daripada arus deras dan keadaan air yang bergelora, selain kemungkinan kerosakan sistem kemudi.
Media tempatan The Hans India melaporkan bahawa Sungai Hooghly, tempat di mana kejadian berlaku, terkenal dengan selekoh tajam dan beting.
“Kadangkala sistem kemudi tersekat, terutama apabila kapal cuba keluar daripada satu selekoh,” kata seorang pegawai tempatan kepada The Hans India.
Pegawai itu menambah bahawa sebaik kapten kapal menyedari sistem kemudi tersekat, beliau memberi amaran kepada kawasan sekeliling dengan membunyikan semboyan kapal secara berterusan.
Video tersebut menunjukkan tiada feri berada di laluan kapal ketika ia menuju ke arah tebing.
Sejurus selepas pelanggaran, jurupandu kapal menghubungi Pihak Berkuasa Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee dan melaporkan kejadian itu, menurut MarineTraffic.
Menurut MarineTraffic dan The Hans India, kapal tunda telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan akan menunggu air pasang seterusnya untuk menarik keluar kapal kontena berkenaan.
