Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelabuhan Tuas PSA capai 25j TEU walau hadapi persaingan
Pelabuhan Tuas milik PSA Singapore telah mengendalikan 25 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) sejak operasinya bermula pada September 2022, menonjolkan peningkatan berterusan terminal kontena automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia itu.
TEU merupakan unit ukuran standard yang digunakan dalam industri perkapalan dan logistik untuk menggambarkan kapasiti kargo bagi kapal kontena, kereta api, trak dan terminal. Satu TEU mewakili isi padu sebuah bekas kontena perkapalan sepanjang 20 kaki yang standard.
Pencapaian itu membuktikan bahawa konsep pelabuhan mega generasi seterusnya Singapura ini berjaya.
Ia menunjukkan terminal itu mampu mengembangkan operasi automatiknya untuk menampung aliran kargo global yang sentiasa berubah, serta melindungi rantaian bekalan daripada gangguan perdagangan geopolitik.
Kemudahan itu kini mengendalikan 14 dermaga dan kekal mengikut jadual untuk berkembang kepada 18 dermaga menjelang 2027, kata PSA pada 6 Ogos.
“Dengan corak perdagangan global yang semakin kompleks, penyelarasan yang mantap merentasi pelabuhan dan nod rantaian bekalan telah menjadi lebih penting berbanding sebelum ini,” kata ketua eksekutif kumpulan PSA International, Encik Ong Kim Pong.
Pelabuhan automatik itu bertindak sebagai komponen teras strategi ‘Node to Network’ PSA, menghubungkan keupayaan pemindahan kargo tempatan syarikat itu dengan ekosistem pelabuhan globalnya yang lebih luas.
Ini akan membantu Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai hab pemindahan kargo kontena terkemuka di dunia, kata PSA.
Pencapaian Pelabuhan Tuas itu berlaku selepas satu kajian Bank Dunia, yang diterbitkan pada akhir Julai, menunjukkan bahawa pelabuhan di Asia Timur dan Pasifik memerlukan pelaburan tahunan sebanyak AS$12 bilion ($15.3 bilion) antara 2025 dan 2040 bagi meningkatkan kecekapan dan kapasiti.
Sekiranya pertumbuhan perdagangan kontena kekal pada 3.5 hingga 4 peratus setahun, jumlah pelaburan sebanyak AS$90 bilion, atau AS$6 bilion setahun, akan diperlukan untuk hampir menggandakan kapasiti kepada 300 juta TEU menjelang 2040.
Pelabuhan di Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memerlukan kira-kira 25 peratus daripada jumlah modal tersebut.
PSA Singapore memproses 44.5 juta TEU pada 2025 dan mengekalkan rangkaian yang menghubungkan ke 600 pelabuhan di seluruh dunia dengan pelayaran harian.
Selain operasi pelabuhan standard, syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan sokongan pelabuhan dan penyelesaian digital khusus. Ini membantu menyediakan logistik peringkat pertengahan, serta membolehkan rantaian bekalan dipantau dari hujung ke hujung secara bersama.
