Fasa laut edisi ke-32 Latihan Malapura, latihan tentera laut dua hala antara angkatan laut Singapura dan Malaysia, berjaya diselesaikan.
Fasa laut latihan tersebut berlangsung di Selat Melaka 17-20 November, dengan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (RMN) jalankan latihan pertahanan udara, tembakan meriam, latihan keselamatan maritim, komunikasi dan beberapa siri gerakan.
Latihan berlangsung 13-23 November, bermula dengan fasa pantai 13-16 November di Pangkalan Tentera Laut Changi, juga menandakan ulang tahun ke-40 Latihan Malapura, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 21 November.
Majlis penutup akan diadakan di Pangkalan Tentera Laut Langkawi pada 23 November yang akan dirasmikan bersama Laksamana Muda (RADM) Kwan dan Panglima Armada Barat RMN Naib Laksamana Mohamad Azuwan Harun.
Panglima Tentera Laut RSN RADM Sean Wat dan Panglima Tentera Laut RMN Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain yang telah menghadiri majlis perasmian akan juga menghadiri majlis penutup itu.
Semasa latihan selama 10 hari itu, RSN telah mengerahkan kapal frigat Formidable-class, RSS Supreme, helikopter tentera laut S-70B, dan dua korvet peluru berpandu Victory-class, RSS Valiant dan RSS Vigilance.
RMN pula mengerahkan kapal frigat Lekiu-class, KD Lekiu, helikopter Fennec, korvet Kasturi-class, KD Lekir dan Handalan-class, KD Gempita, termasuk dua pesawat pejuang SU-30MKM serta dua bot tempur pantas.
Berucap pada majlis perasmian latihan itu pada 14 November, Komander Armada RSN, RADM Kwan Hon Chuong, menekankan kepentingan latihan dalam meningkatkan profesionalisme dan persahabatan antara kededua tentera laut.
Beliau berkata: “Latihan Malapura adalah asas hubungan dua hala antara angkatan laut kita dan terus menjadi latihan penting untuk RSN.
“Kami telah tingkatkan kerjasama secara berperingkat dan memperkukuh persahabatan di kalangan tentera laut apabila siri latihan menjadi semakin kompleks dan mencabar.
“Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-40 usaha bersama kami dalam keselamatan maritim serantau.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg