Topik diikuti
Pergi ke BHkuKarnival bantu kanak-kanak bina keyakinan, berani cuba perkara baharu
Karnival bantu kanak-kanak bina keyakinan, berani cuba perkara baharu
Lebih 70 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan berpeluang menyertai pelbagai kegiatan pembelajaran sambil membina keyakinan diri menerusi edisi ketiga Karnival The Alphabet Project (TAP) pada 11 September.
Karnival selama empat jam di Kelab Masyarakat (CC) Woodlands itu menampilkan pertandingan bercerita, di samping bengkel sains, seni dan sukan.
Usaha ini dilakukan dengan tujuan membina keyakinan kanak-kanak, di samping membantu mereka bergaul dengan rakan sebaya dan masyarakat, kata badan induk TAP, Hope Initiative Alliance (HIA).
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, yang hadir sebagai tetamu terhormat, berkata usaha membina keyakinan dalam diri kanak-kanak penting agar mereka berani keluar daripada zon selesa dan mengenali kebolehan diri.
“Singapura hanya boleh menjadi kuat apabila kita turut memperkasa mereka yang paling memerlukan bantuan.
“Justeru, kita ingin membantu setiap kanak-kanak mencapai potensi mereka sepenuhnya. Tidak kira keadaan mereka hari ini atau dari mana mereka berasal, mereka harus berani bermimpi besar dan yakin bahawa ada masyarakat di sekeliling yang akan menyokong mereka,” kata Cik Mariam.
Karnival TAP, yang memasuki tahun ketiga, sebelum ini diadakan di Canberra pada 2024 dan Bedok pada 2025.
Penganjurannya di Woodlands tahun ini menyusuli peluasan TAP ke kawasan utara menerusi Kelab TAP, menurut jurucakap HIA.
Buat julung kalinya juga, HIA bekerjasama dengan pelajar Politeknik Republic (RP) menerusi penubuhan Jawatankuasa Pemimpin Pelajar HIA-RP, yang memainkan peranan dalam merancang karnival itu, termasuk menyediakan bengkel bagi kanak-kanak yang hadir.
Karnival itu turut menampilkan pertandingan bercerita, dengan pemenang tempat pertama membawa pulang sebuah tablet, diikuti kamera kanak-kanak bagi tempat kedua dan sepasang fon kepala bagi tempat ketiga.
Penerima manfaat turut menerima pen pembelajaran yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), tajaan Pusat Seni Tradisional.
Presiden HIA, Reverend Ezekiel Tan, menambah bahawa pihaknya percaya setiap kanak-kanak wajar diberi peluang untuk belajar, berkembang dan mencapai potensi masing-masing tanpa mengira latar belakang dan keadaan hidup mereka,
“Menerusi TAP, kami berharap dapat mewujudkan pengalaman bermakna yang membolehkan kanak-kanak mengenali kekuatan mereka, membina keyakinan dan menikmati proses membesar,” katanya.
