Pengurus masjid ingatkan perihal kesabaran, kebersamaan; ujian, peluang di ruang terhad

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengurus masjid ingatkan perihal kesabaran, kebersamaan; ujian, peluang di ruang terhad

Masjid Alkaff Kampung Melayu sambut Ramadan di tengah kerja naik taraf
Feb 20, 2026 | 5:30 AM

Pengurus masjid ingatkan perihal kesabaran, kebersamaan; ujian, peluang di ruang terhad

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Masjid Alkaff Kampung Melayu, ramadan
Masjid Alkaff Kampung Melayu terletak di Bedok Reservoir Road ini mengharapkan sokongan ramai dan masih memerlukan dana untuk kerja naik taraf yang sedang rancak dijalankan. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Di sebalik kebisingan kerja naik taraf yang masih rancak berlangsung, suasana Ramadan di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 2026 ini hadir dengan makna yang tersendiri.

Bagi Pengurus Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail, Ramadan kali ini bukan sekadar bulan ibadah, bahkan ruang untuk memupuk kesabaran dan kebersamaan dalam kalangan jemaah.

“Ramadan 2026 ini memang unik kerana kami menyambutnya di tengah-tengah kerja naik taraf masjid. Hampir separuh ruang masjid ditutup, namun kami melihat ini sebagai ujian kesabaran dan peluang jemaah memupuk sifat tolak ansur,” ujar Ustaz Taufiq.

Menurutnya, fokus utama masjid ialah memastikan setiap ibadah dapat diteruskan dengan selamat, tersusun dan penuh keberkatan walaupun dalam keterbatasan ruang. Solat tarawih tahun ini dilaksanakan sebanyak lapan rakaat berserta tiga rakaat witir, dipimpin sepenuhnya oleh asatizah Masjid Alkaff Kampung Melayu sepanjang Ramadan.

Pengurusan jemaah disusun dengan lebih teliti. Ruang Muslimah dihadkan kepada sekitar 130 orang setiap malam, dengan sebahagian aras satu diperuntukkan buat mereka, manakala Muslimin menggunakan aras dua dan tiga.

Laluan masuk dan keluar turut dikawal bagi memastikan aliran pergerakan lancar dan selamat.

“Kami amat menghargai kerjasama jemaah mematuhi laluan yang ditetapkan dan saling membantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Bagi menampung kehadiran yang dijangka meningkat, terutama pada 10 malam terakhir Ramadan, Masjid Alkaff Kampung Melayu turut mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak.

Solat tarawih dianjurkan di kolong Blok 702 Bedok Reservoir Road bersama kumpulan dan ahli kariah Bedok Reservoir Rise pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Selain itu, kerjasama dengan Hope Initiative Alliance membolehkan solat diadakan di Kaki Bukit Recreation Centre khusus untuk pekerja migran di dormitori berdekatan.

“Ramadan bukan tentang satu tempat, malah tentang mencari ketenangan dan keberkatan di mana sahaja kita berada,” kata Ustaz Taufiq, menggalakkan jemaah merancang kehadiran lebih awal dan mempertimbangkan kariah atau masjid berdekatan.

“Dalam aspek pengurusan iftar/buka puasa, ruang dihadkan kepada kapasiti sekitar 250 hingga 300 jemaah setiap hari.

“Walaupun jumlah itu lebih kecil berbanding tahun-tahun lalu, pihak masjid berharap suasana kebersamaan tetap dapat dirasai,” katanya.

Dana peningkatan diperlukan

Masjid Alkaff Kampung Melayu masih memerlukan sekitar $20,000 bagi menampung kos bubur, iftar dan kegiatan ibadah sepanjang bulan ini melalui Dana Ramadan.

Ustaz Taufiq turut menggalakkan orang ramai agar terus menyumbang dan menaja juadah iftar, bubur Ramadan serta program-program ilmu yang dianjurkan. Menurutnya, setiap sumbangan, sama ada kecil ataupun besar, amat bermakna dalam memastikan kelangsungan program Ramadan dan kebajikan masyarakat setempat.

“Kami menyeru masyarakat supaya bersama-sama merebut ganjaran Ramadan dengan menyokong usaha masjid ini,” ujarnya.

Tradisi pemberian bubur Ramadan juga diteruskan. Sebanyak 250 hingga 300 paket bubur diagihkan setiap hari sejurus selepas solat asar bermula dari 19 Februari hingga 15 Mac 2026 kepada jemaah dan masyarakat setempat.

Selain ibadah solat, pengisian ilmu turut diberi perhatian. Kuliah Zuhur khas dianjurkan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan, dengan penceramah terdiri daripada asatizah masjid serta jemputan daripada Masjid Al-Taqua.

Dalam suasana yang mencabar ini, Ustaz Taufiq menegaskan bahawa kekuatan Masjid Alkaff Kampung Melayu terletak pada semangat sukarelawan yang berkhidmat dengan penuh keikhlasan.

“Masjid mungkin sedang dinaik taraf secara fizikal, tetapi Ramadan adalah peluang kita sama-sama menaik taraf akhlak, empati dan hubungan sesama insan,” tambah Ustaz Taufiq dengan penuh pengharapan.

SEKILAS:

Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Untuk hulur sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg