Topik diikuti
Pergi ke BHkuKaryawan Islam AMP bantu belia ITE bina kerjaya lebih yakin
AMP S’pura, The Astronauts Collective perluas sokongan buat anak muda; sasar lebih 500 sukarelawan dalam tiga tahun
Karyawan Islam AMP bantu belia ITE bina kerjaya lebih yakin
Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bakal mendapat akses lebih luas kepada bimbingan kerjaya dan rangkaian profesional, dengan lebih 500 karyawan Islam bakal terlibat sebagai mentor dan sukarelawan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada kerjasama antara AMP Singapura dengan The Astronauts Collective (TAC) yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) pada 6 Oktober.
TAC, yang diasaskan bersama Encik Marvin Kang dan Encik Yi Fong Wong, merupakan badan tidak mengaut untung yang menyokong pembangunan kerjaya belia ITE menerusi program penerokaan dan persediaan kerjaya.
MOU itu ditandatangani di ITE Kolej Central sempena acara World X, dengan Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, hadir menyaksikan pemeteraiannya.
Daripada 30 karyawan Islam yang kini terlibat dalam program TAC menerusi AMP Singapura, 15 mentor telah dipadankan dengan 15 pelajar ITE, manakala selebihnya terlibat dalam program World X.
World X merupakan acara penerokaan kerjaya yang memberi peluang kepada pelajar ITE Kolej Central, Barat dan Timur mengenali pelbagai laluan kerjaya serta berhubung dengan karyawan daripada pelbagai industri.
Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata kerjasama itu tercetus daripada usaha memanfaatkan rangkaian karyawan Islam AMP bagi memenuhi keperluan bimbingan kerjaya dalam kalangan pelajar ITE.
“Kita mempunyai rangkaian karyawan Islam, sementara pelajar ITE pula memerlukan bimbingan kerjaya. Jadi, kita melihat bagaimana kededuanya dapat dipadankan bagi memenuhi keperluan tersebut.
“Pada masa sama, kita mahu memberi peluang kepada karyawan Islam untuk menjadi mentor kepada pelajar bukan Islam juga. Dengan cara ini, kita dapat berkongsi sumber dan kepakaran merentas masyarakat.
“Kerjasama ini sudah berjalan lebih setahun dan saya rasa ia sesuatu yang baik untuk diteruskan,” kata Encik Mohksin kepada Berita Harian (BH).
Penyertaan karyawan Islam menerusi AMP Singapura dalam program kendalian TAC, katanya, meningkat daripada 19 individu pada 2025 kepada 30 individu kini.
Dengan kerjasama ini, karyawan yang terlibat akan menjadi sebahagian daripada rangkaian sukarelawan TAC yang lebih luas dalam usaha menyokong lebih 10,000 belia ITE.
Selain acara World X, sukarelawan akan terlibat dalam program bimbingan kerjaya secara individu kendalian TAC iaitu, JumpStart.
Program selama enam bulan itu disasarkan kepada pelajar ITE yang ingin mengikuti Diploma Kerja-Belajar, dengan memberi bimbingan bagi meningkatkan persediaan mereka bagi alam pekerjaan.
Diploma Kerja-Belajar terbuka kepada lulusan Nitec yang meraih Purata Nilai Gred (GPA) sekurang-kurangnya 2.0, atau lulusan Nitec Lanjutan.
Menyentuh cabaran yang dihadapi golongan belia apabila melangkah ke alam pekerjaan, Encik Mohksin berkata isu keyakinan diri antara perkara yang boleh ditangani menerusi bimbingan mentor.
“Kadangkala golongan belia sudah mempunyai kemahiran yang diperlukan, tetapi masih berasa kurang yakin atau gemuruh apabila melangkah ke alam pekerjaan.
“Dengan adanya mentor, mereka mempunyai seseorang yang berpengalaman untuk membimbing mereka memahami persekitaran kerja, menyesuaikan diri dengan situasi yang dihadapi dan membina keyakinan,” ujarnya.
Dalam keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar, beliau turut berharap bimbingan yang diberikan dapat membantu pelajar membuat pilihan kerjaya dengan lebih yakin.
“Kita mahu mereka bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah dapat membina kerjaya yang bermakna, selain memenuhi keperluan asas keluarga,” kata Encik Mohksin.