Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan khidmat sosial manfaat teknologi demi keselesaan klien

Gigih bangun projek telepemulihan semasa Covid-19, khidmat fisioterapi dengan platform AI untuk pekerja migran
Feb 2, 2025 | 9:17 PM
Cik Siti Zubaidah Yusoff berharap pengiktirafan dan sokongan yang lebih tinggi untuk karyawan perkhidmatan sosial akan membawa perubahan positif, termasuk sokongan profesional yang lebih baik, lebih banyak pelaburan dalam latihan dan infrastruktur, serta perubahan dasar yang mengintegrasikan nilai perkhidmatan sosial. 
Cik Siti Zubaidah Yusoff berharap pengiktirafan dan sokongan yang lebih tinggi untuk karyawan perkhidmatan sosial akan membawa perubahan positif, termasuk sokongan profesional yang lebih baik, lebih banyak pelaburan dalam latihan dan infrastruktur, serta perubahan dasar yang mengintegrasikan nilai perkhidmatan sosial.  - Foto ihsan SITI ZUBAIDAH YUSOFF

Banyak perubahan dalam sektor perkhidmatan sosial yang dilihat dan diharungi Cik Siti Zubaidah Yusoff sejak menceburi bidang ini sekitar 18 tahun lalu, bermula dengan tugas sebagai klinisian di Hospital Khoo Teck Puat pada 2007.

Di sebalik segala cabaran yang dihadapi, karyawan khidmat sosial berusia 40 tahun itu tabah meniti tangga kerjaya dan kini menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan (Program Kemasyarakatan) di SATA CommHealth, amanah yang digalas sejak 2018.

Apa yang membuatnya teruja dan bersyukur ialah melihat penekanan pada khidmat menyeluruh yang berpangkalan pada kemudahan dan keperluan klien dalam sektor perkhidmatan sosial sejak akhir-akhir ini.

“Sektor khidmat sosial kini tidak hanya memberi tumpuan kepada keperluan segera klien, tetapi juga kepada urusan penjagaan pencegahan dan pemerkasaan jangka panjang pihak yang dibantu.

“Di samping itu, terdapat juga peralihan ke arah kerjasama yang merentasi pelbagai disiplin dengan karyawan perkhidmatan sosial bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan, pendidik serta pertubuhan masyarakat bagi menawarkan penjagaan lebih menyeluruh,” katanya sewaktu dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau berkongsi pengalaman sempena Tahun Meraikan Karyawan Perkhidmatan Sosial yang disambut tahun ini (2025) dan beberapa inisiatif yang diperkenalkan untuk mengiktiraf dan meraikan sumbangan lebih 20,000 karyawan sektor tersebut.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam sesi Forum Social Service Tribe anjuran Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), telah mengumumkan pengenalan beberapa anugerah baru termasuk anugerah tertinggi, Anugerah Presiden bagi Karyawan Perkhidmatan Sosial.

Cik Siti Zubaidah, lulusan Diploma Terapi Pekerjaan daripada Politeknik Nanyang (NYP), yang juga memiliki ijazah Sarjana Terapi Pekerjaan Lanjutan, berkata:

“Usaha meraikan karyawan sektor perkhidmatan sosial ini merupakan satu langkah yang sangat baik, mentelah pula selepas mengharungi cabaran besar pandemik Covid-19.

“Kerja khidmat sosial dan kesihatan adalah bersifat pencegahan dan jangka panjang, bermakna kesannya tidak selalu dapat dilihat dengan segera.

“Berbeza dengan doktor atau jurutera yang melakukan sesuatu dengan hasilnya boleh dilihat, karyawan perkhidmatan sosial sering berurusan dengan perihal seperti kesihatan mental, penglibatan masyarakat dan penjagaan warga emas, di mana hasil kejayaannya lebih sukar diukur.

“Justeru, usaha menjadikan 2025 sebagai tahun meraikan usaha karyawan khidmat sosial sangat dialu-alukan.”

Beliau turut berkongsi tentang manfaat penggunaan teknologi seperti teleperubatan, salah satu pencapaian penting yang beliau dan rakan-rakannya usahakan pada 2020, sewaktu wabak Covid-19 melanda.

Dengan kerjasama pasukannya di SATA CommHealth, Cik Siti Zubaidah menerajui usaha melaksanakan khidmat telepemulihan dalam memastikan penjagaan tanpa gangguan dapat diberi kepada pesakit dalam keadaan khidmat pemulihan pesakit luar sukar dilakukan kerana jarak perlu diperhatikan demi keselamatan.

Inisiatif itu, malahan, mendapat pujian Encik Masagos dan turut menerima Geran Konsultasi Video daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Pada Julai 2024 pula, Cik Zubaidah menjadi pelopor bagi projek menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk lebih memudahkan pekerja migran mendapatkan khidmat fisioterapi.

Khidmat hasil kerjasama SATA CommHealth dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Migrant Well Singapore, disediakan melalui bas kenderaan elektrik (EV) yang bergerak antara tiga pusat perubatan untuk pekerja migran.

“Ahli fisioterapi menilai pekerja migran secara bersemuka, memberi senarai senaman atau saranan untuk diamalkan. Ia dimasukkan ke dalam platform AI EliteFit, di mana pekerja migran boleh mengakses platform AI pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.

Bas kenderaan elektrik (EV), sebahagian daripada perkhidmatan fisioterapi hibrid untuk pekerja migran, bergerak antara pusat perubatan dari 1 petang hingga 8 malam. Ia memberikan akses mudah kepada rawatan tanpa mengganggu jadual kerja. Perkhidmatan tersebut menggabungkan penilaian secara bersemuka dengan susulan yang disokong oleh AI melalui platform EliteFit.
Bas kenderaan elektrik (EV), sebahagian daripada perkhidmatan fisioterapi hibrid untuk pekerja migran, bergerak antara pusat perubatan dari 1 petang hingga 8 malam. Ia memberikan akses mudah kepada rawatan tanpa mengganggu jadual kerja. Perkhidmatan tersebut menggabungkan penilaian secara bersemuka dengan susulan yang disokong oleh AI melalui platform EliteFit. - Foto SATA CommHealth
Seorang pekerja migran (kiri) sedang menjalani sesi fisioterapi di dalam bas kenderaan elektrik (EV) di mana sebanyak 224 penilaian fisioterapi awal telah dilakukan dari Julai hingga Disember 2024.
Seorang pekerja migran (kiri) sedang menjalani sesi fisioterapi di dalam bas kenderaan elektrik (EV) di mana sebanyak 224 penilaian fisioterapi awal telah dilakukan dari Julai hingga Disember 2024. - Foto SATA CommHealth

Bagaimanapun, Cik Siti Zubaidah juga akur bahawa dalam sektor yang sering dianggap sebagai kerjaya penuh dengan tekanan, cabaran tetap ada.

Antaranya seperti menangani kekurangan tenaga kerja, permintaan perkhidmatan sosial yang semakin meningkat, dan keperluan bagi karyawan untuk terus menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg