Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan logistik didik anak nilai sumbang kembali, bantu warga emas

Dec 21, 2024 | 6:36 PM
Penyelia operasi lapangan terbang UPS, Encik Mohamed Nazri Yusop (berdiri di belakang) bersama tiga anak lelakinya (dari kiri) Mohamed Irfan; Mohamed Luqman dan Mohamed Haikal di Pusat Penuaan Aktif Blossom Seeds pada 21 Disember.
Penyelia operasi lapangan terbang UPS, Encik Mohamed Nazri Yusop (berdiri di belakang) bersama tiga anak lelakinya (dari kiri) Mohamed Irfan; Mohamed Luqman dan Mohamed Haikal di Pusat Penuaan Aktif Blossom Seeds pada 21 Disember. - Foto ZAOBAO

Kegiatan sukarela telah menjadi satu tradisi bagi seorang bapa dan empat anak lelakinya.

Hampir sedekad lalu, penyelia operasi lapangan terbang, Encik Mohamed Nazri Yusop, 45 tahun, memperkenalkan anak sulungnya kepada kegiatan sukarela melalui khidmat masyarakat seperti menghantar barangan runcit kepada warga emas yang menetap di unit sewa satu bilik.

Encik Nazri berharap dengan mendedahkan anak-anaknya kepada keadaan hidup yang berbeza, ia dapat mengajar mereka empati dan nilai menyumbang kembali kepada masyarakat.

Ketika ditemui Berita Minggu (BM) di acara sambutan Krismas syarikat penyedia khidmat logistik UPS bersama warga emas, ‘LiveItUPSenior 2024’ di Pusat Penuaan Aktif Blossom Seeds sekitar Canberra Street pada 21 Disember, beliau ditemani anak kedua, ketiga dan keempatnya.

Mohamed Haikal, 15 tahun, Mohamed Irfan, 13 tahun dan Mohamed Luqman, 11 tahun, begitu teruja dengan peluang mendekati masyarakat memerlukan.

UPS telah menyumbangkan $11,000 kepada Blossom Seeds bagi tujuan meneruskan program yang memberi kesan kepada warga emas.

Acara ini turut dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, serta 200 warga emas dan peserta dari Canberra East dan Zon Sembawang Central.

“Saya fikir acara sebegini adalah salah satu cara bagi saya menunjukkan kepada anak-anak saya tentang nilai membantu orang lain.

“Saya ingin mereka cuba hargai apa yang mereka ada dan dan bersyukur seadanya.

“Jika mereka berkebolehan dan berkeupayaan membantu, mereka patut meluangkan masa untuk berbuat demikian,” kata Encik Nazri yang telah berkhidmat bersama UPS sejak 2002.

Peluang menjadi sukarelawan bersama Blossom Seeds telah membuka minda anak keempat daripada lima beradik, Mohamed Luqman, yang peramah dan gemar mendengar kisah warga emas berisiko dan hidup terpencil yang ditemuinya.

“Pernah sekali saya bertemu seorang datuk yang gigih bersenam di gim setiap hari.

“Datuk itu mengajar saya cara menjalani kehidupan dengan sepenuhnya. Bukan beliau sahaja, malah ramai lagi warga emas yang saya jumpa telah berkongsi kisah mereka,” kongsi pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang gemar bermain ‘game’ itu.

Melihat bagaimana adiknya akan meluangkan masa setiap Sabtu untuk bersama warga emas telah mendorong anak kedua Encik Nazri, Mohamed Haikal, untuk menghadiri acara Krismas pada 21 Disember juga.

Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu, yang berpengalaman mengutip derma melalui tabung masjid sewaktu Ramadan, berkongsi bahawa melakukan kegiatan sukarela bersama keluarga adalah peluang baginya meraih pengalaman baru dan menghabiskan waktu dengan produktif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg