Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan turun padang, semai inspirasi dalam kalangan belia

Jul 10, 2025 | 11:54 AM
Dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semasa Sesi Rangkaian YOUth@M³, para belia ini mempelajari selok-belok sektor pertumbuhan serta peluang kerjaya yang sedia ada.
Dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan semasa Sesi Rangkaian YOUth@M³, para belia ini mempelajari selok-belok sektor pertumbuhan serta peluang kerjaya yang sedia ada. - Foto YAYASAN MENDAKI

Sesi Rangkaian YOUth@M³, yang berlangsung di Sands Expo & Convention Centre pada 5 Julai lalu, menyaksikan golongan karyawan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan belia melalui perkongsian pengalaman sebenar mereka.

Diadakan sebagai sebahagian daripada kempen Raikan Ilmu 2025, acara yang dihadiri hampir 400 belia, ibu bapa dan pemimpin masyarakat itu bertujuan mendorong para belia mencapai potensi mereka serta memberi sokongan kepada pembangunan kerjaya generasi muda.

Lebih daripada 15 anggota Rangkaian Karyawan Mendaki daripada sektor perbankan dan kewangan, kejuruteraan, sumber manusia, perundangan, media dan kreatif serta sektor awam telah menyingsing lengan untuk berkongsi pengalaman dan pelbagai peluang kerjaya bagi anak-anak muda.

DEDAH PELBAGAI PELUANG UNTUK BELIA

Pengurus Arkitek Program dalam Pasukan Belia Singapura, satu divisyen bawah Majlis Belia Kebangsaan, Cik Nazihah Shukran, 27 tahun, merupakan salah seorang karyawan yang menyumbang masa dan kemahiran beliau di Sesi Rangkaian YOUth@M³.

Setelah tiga tahun berkhidmat dalam sektor belia, Cik Nazihah yakin untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran tentang cara mendekati golongan belia serta menyokong perkembangan mereka.

Menurut beliau, Sesi Rangkaian YOUth@M³ bukan sahaja membolehkan interaksi antara golongan karyawan dan belia, ia juga menggalak belia kita meneroka pelbagai pilihan kerjaya yang sedia ada secara lebih mendalam.

“Saya sempat berkongsi beberapa program serta inisiatif yang disediakan oleh Pasukan Belia Singapura. Saya rasa sangat seronok kerana dapat memperkenalkan belia kepada pelbagai peluang yang membolehkan mereka berkembang maju.

“Melalui pendedahan sebegini, mereka bukan sahaja meraih pemahaman tentang pelbagai peranan yang wujud dalam masyarakat, malah mereka mampu mengenal pasti bidang-bidang yang boleh diterokai serta menyumbang kepakaran dan tenaga secara bermakna pada masa akan datang,” jelasnya.

GOLONGAN MUDA PERLUKAN DORONGAN

Sebagai seorang karyawan dalam sektor perkhidmatan sosial dan sektor awam, Cik Nazihah menyatakan sokongan para karyawan sangat penting dalam membina keyakinan belia dan mewujudkan jaringan antara generasi.

“Dengan mengenali individu daripada latar belakang, kerjaya dan generasi yang berbeza, kita dapat saling belajar dan meneroka pelbagai cara membantu merealisasikan impian belia kita.

“Apa yang kita dapat lihat di Sesi Rangkaian YOUth@M³ ini adalah ramai belia berminat untuk mengetahui bagaimana dan mengapa mereka perlu menjadi sukarelawan.

“Berdasarkan pengalaman bekerja bersama golongan muda, belia kita amat memerlukan dorongan dan sokongan berterusan daripada masyarakat serta organisasi bagi membantu mereka mengembangkan lagi potensi dan bakat yang dimiliki,” kata Cik Nazihah.

RAIH ILMU DISAMPING MEMBERI ILMU

Cik Nazihah juga berpeluang mempelajari daripada sektor-sektor lain dan menggalak perkongsian ilmu merentasi sektor. Beliau menambah bahawa acara itu turut menjadi ruang bagi masyarakat kita untuk memahami perkembangan kerjaya karyawan, yang menjadi sumber inspirasi kepada pembangunan kerjaya beliau sendiri.

“Penyertaan dalam Sesi Rangkaian YOUth@M³ ini mengukuhkan lagi tujuan dan tanggungjawab saya kepada para belia.

“Saya berkesempatan mendengar perkongsian daripada barisan karyawan kanan serta pemimpin organisasi.

“Daripada perkongsian tersebut, saya sedar bahawa perjalanan membina kerjaya bukanlah satu laluan yang lurus atau tetap.

“Setiap fasa harus ditempuhi dengan cabaran dan pembelajaran tersendiri, yang seterusnya memperkaya kemahiran serta memperluas sudut pandangan saya kepada dunia karyawan,” ujar Cik Nazihah.

BERI PANDUAN PRAKTIKAL KEPADA BELIA

Turut hadir untuk berkongsi pengalaman industri di Sesi Rangkaian YOUth@M³ ialah Encik Muzammil Aziz, 39 tahun, yang merupakan pengasas bersama PEREKA dan pensyarah Diploma Reka Bentuk Dalaman di Politeknik Singapura.

Beliau menambah bahawa penglibatan dan perkongsian daripada para karyawan adalah amat penting kerana ia dapat memberi panduan praktikal dan inspirasi kepada generasi muda.

Beliau menceritakan: “Menerusi pengalaman saya dalam bidang seni bina, reka bentuk dalaman, dan pendidikan reka bentuk, saya sedar terdapat jurang yang perlu dirapatkan, khususnya untuk menghubungkan belia dengan realiti dunia kerja.

“Perkongsian di acara seperti ini dapat memberikan gambaran lebih jelas dan luas tentang selok-belok industri kepada belia, selain menjadi asas penting untuk membentuk pemikiran mereka secara menyeluruh.”

SUMBANGAN PROFESSIONAL MAMPU SUNTIK SEMANGAT

Kepercayaan terhadap keberkesanan perkongsian ilmu dan pengalaman bersama telah menjadi pendorong utama bagi Encik Muzammil untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui inisiatif seperti Sesi Rangkaian YOUth@M³.

Sebagai salah satu anggota Rangkaian Karyawan Mendaki bagi Media dan Kreatif, Encik Muzammil kerap berbincang dan menggalak anggota serta karyawan lain untuk menghulurkan kepakaran masing-masing demi memperkasa generasi muda.

“Sekecil mana pun pengetahuan dan pengalaman yang anda miliki sebagai seorang karyawan, ia mampu menyuntik semangat dalam kalangan para belia. Jadi, mengapa tidak kita memulakan perubahan ini dan menjadi pemangkin transformasi? Kalau bukan kita, siapa lagi?”

“Oleh itu, saya harap penglibatan karyawan dan platform seperti Sesi Rangkaian YOUth@M³ dapat membantu para belia merungkai pelbagai persoalan mengenai sektor-sektor pertumbuhan, sekaligus membantu mereka bersedia untuk menghadapi cabaran sebenar di luar sana,” pesan Encik Muzammil.

SEKILAS

Kempen Raikan Ilmu 2025 akan diteruskan dengan pesta Raikan Ilmu@Heartlands di Our Tampines Hub, SAFRA Choa Chu Kang dan Northpoint City dari 9 hingga 27 Julai dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Layari https://www.mendaki.org.sg/my/raikanilmu/ untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang Raikan Ilmu 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg