Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu ratu hati, kunci ke syurga

Balas jasa dengan doakan mereka setiap hari, luangkan masa sebelum terlambat
May 9, 2025 | 5:30 AM
Ibu mungkin tidak tahu selok-belok dunia kerjaya atau akademik kita, tetapi beliau tahu satu perkara iaitu setiap doa yang keluar dari hatinya akan membawa kita lebih dekat kepada kejayaan dan perlindungan Allah swt.
Ibu mungkin tidak tahu selok-belok dunia kerjaya atau akademik kita, tetapi beliau tahu satu perkara iaitu setiap doa yang keluar dari hatinya akan membawa kita lebih dekat kepada kejayaan dan perlindungan Allah swt. - Foto ADOBE STOCK

Sambutan Hari Ibu biasanya diraikan pada Mei, namun penghargaan terhadap insan yang melahirkan dan membesarkan kita tidak sepatutnya terhad kepada sehari atau sebulan sahaja.

Sebagai seorang Muslim, tanggungjawab kita terhadap kedua ibu bapa bukanlah bermusim atau seketika sahaja, sebaliknya merupakan satu bentuk khidmat yang berterusan dan berkembang seiring dengan usia kita yang semakin lanjut.

Apabila ibu bapa semakin lanjut usia, peranan kita sebagai anak turut berubah.

Daripada menerima kepada memberi, daripada dijaga kepada menjaga.

Kita menjadi penyokong fizikal, emosi dan kewangan bagi mereka.

Dalam hal ini, Islam memberikan penekanan khusus terhadap ibu.

Ini jelas terbukti dalam kisah seorang lelaki bernama Jahimah yang datang kepada Rasulullah saw untuk meminta izin menyertai peperangan.

Baginda bertanya: “Adakah engkau masih mempunyai ibu?”

Lelaki itu menjawab: “Ya.”

Maka Baginda bersabda: “Peliharalah (berbaktilah kepada) ibumu, kerana sesungguhnya syurga berada di bawah kakinya.” (Hadis riwayat al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani)

Sebab dahulukan ibu

Allah swt berfirman: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan susah payah dan melahirkannya dalam susah payah, sedangkan tempoh mengandungnya serta tempoh menyapihnya dalam 30 bulan... ” (Surah Al Ahqaf 15).

Baginda turut menyebutkan kedudukan seorang ibu di dalam sabdanya:

“Siapakah yang paling berhak untuk aku layan dengan baik?” Rasulullah saw menjawab: “Ibumu.” Lelaki itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibumu.” Ditanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda tetap menjawab: “Ibumu.” Barulah kali keempat Baginda menyebut: “Ayahmu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Persoalan yang timbul daripada ayat Al-Quran dan hadis ialah: mengapa ibu didahulukan dan diberikan perhatian yang utama?

Ini kerana tiada manusia yang berkorban secara senyap melebihi seorang ibu.

Pengorbanan seorang ibu bermula sejak janin terbentuk dalam rahim, yakni sebelum anak itu melihat dunia lagi.

Kesakitan yang ditanggungnya ketika hamil dan melahirkan tidak mampu dibayar dengan wang.

Setelah itu, ibu menyusukan, membesarkan, dan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang, kesabaran dan tanpa sebarang rungutan.

Beliau sanggup mengetepikan keperluan sendiri demi memastikan anak-anak cukup makan, berpakaian dan mendapat pendidikan yang sempurna.

Justeru, dalam Islam, Allah swt mengangkat darjat seseorang berdasarkan pengorbanan dan usaha kebaikan mereka yang ikhlas.

Dalam konteks ini, seorang ibu, sama ada ibu kandung, ibu tiri, mahupun ibu tunggal, layak diberikan kedudukan yang selayaknya, sepadan dengan pengorbanan mereka yang tiada ternilai.

Setiap langkah kita bermula dari pengorbanannya

Apabila kita mencapai kejayaan, mungkin ketika kita menyarung jubah tamat pengajian, ketika menerima anugerah atau dinaikkan pangkat, kita lupa siapa yang bersengkang mata dahulu ketika kita masih merangkak dan menangis.

Langkah-langkah hidup kita hari ini adalah hasil daripada setiap air mata, doa dan penat lelah seorang ibu.

Maka, haruslah kita menghargai pengorbanan mereka dengan cara memuliakan usaha mereka sejak kita kecil lagi.

Jangan sesekali menyombongkan diri atau berasa diri berjaya tanpa mengiktiraf siapa yang membantu membentuk kita untuk menjadi seseorang yang berjaya hari ini.

Ibu mungkin tidak tahu selok-belok dunia kerjaya atau akademik kita, tetapi beliau tahu satu perkara bahawa setiap doa yang keluar dari hatinya akan membawa kita lebih dekat kepada kejayaan dan perlindungan Allah swt.

Sepertimana mereka mendoakan kita ketika kita membesar, kini tibalah giliran kita untuk membalas jasa itu dengan mendoakan mereka setiap hari – agar Allah mengampuni dosa-dosa mereka, memudahkan urusan mereka pada usia tua, dan mengurniakan ‘husnul khatimah’ (kesudahan yang baik).

Usah sakiti hati ibu walau dengan sekecil-kecil perbuatan.

Jangan abaikan pesannya, meskipun hanya satu baris pesanan ringkas.

Jika ada dua jalan yang perlu dipilih, pilihlah jalan yang menggembirakan hatinya kerana di situlah terletaknya keberkatan hidup anda.

Jika anda masih muda, ambillah peluang ini untuk merapatkan hubungan dengan ibu anda, dan gembirakan hatinya dengan kejayaan anda di sekolah atau apa sahaja yang membuatkan beliau tersenyum bangga.

Jika anda seorang dewasa yang sudah bekerja, luangkan masa untuk ibu walaupun jadual anda padat.

Sentiasa bertanya khabar dan doakan kesejahteraannya.

Ini termasuk memenuhi tanggungjawab kewangan, menampung keperluan perubatannya, menemani beliau ke hospital atau klinik jika perlu, serta menjaga kebajikannya dengan penuh kasih sayang.

Sesibuk mana pun kehidupan kita, usah jadikan kesibukan sebagai alasan untuk melupakan insan yang pernah mendahulukan segala-galanya demi kebahagiaan anda.

Namun ada kalanya hubungan kita dengan ibu tidak berjalan seperti yang diharapkan, mungkin kerana salah faham kecil, tekanan hidup, atau perbezaan cara berfikir yang tidak disuarakan dengan baik.

Jurang yang berlaku boleh jadi tidak disengajakan, dan semakin lama dibiarkan, semakin sukar diperbaiki.

Namun begitu, Islam mengajar kita supaya sentiasa cuba untuk memperbaiki hubungan yang renggang.

Kita boleh mulakan langkah dengan perkara kecil seperti bertanya khabar, menghantar pesanan ringkas, atau memberikan hadiah sebagai tanda ingatan dan kasih.

Jika terasa kekok atau serba salah, kita boleh menggunakan orang tengah seperti adik-beradik atau saudara terdekat untuk menyampaikan hasrat kita untuk berdamai dan memperbaiki hubungan.

Yang paling utama ialah keikhlasan dalam usaha tersebut, kerana dalam hati seorang ibu, mesti ada ruang untuk memaafkan dan menerima kembali anaknya.

Kadangkala, cukup hanya dengan satu panggilan telefon, satu pesanan ringkas, atau kunjungan mengejut yang ikhlas untuk mencairkan hati yang telah lama memendam.

Tidak ada ibu yang tidak menyayangi anaknya, walaupun hatinya pernah terluka.

Malah, dalam kebanyakan keadaan, kasih sayang seorang ibu jauh mengatasi egonya sendiri.

Usah tunggu hingga terlambat

Kita sering menangguhkan masa untuk menelefon ibu dan melewatkan kunjungan ke rumahnya.

Namun, masa terus berlalu dan tiada sesiapa tahu siapa akan pergi dahulu.

Ramai yang hanya benar-benar menghargai ibu setelah ibunya tiada.

Ketika itu, hanya kenangan yang tinggal.

Suara yang dahulu menyapa kita setiap pagi kini hanya bermain di benak.

Sentuhan yang dahulu menenangkan kini tidak dapat dirasakan lagi.

Segala penyesalan hadir.

“Kenapa aku tak luangkan lebih masa dengannya? Kenapa aku tak tunjuk lebih kasih sayang kepadanya?”

Justeru, usahlah tunggu sehingga perpisahan itu berlaku.

Sayangilah ibu kita ketika beliau masih hidup.

Jika beliau masih ada, ucapkanlah, “terima kasih” dan “saya sayang ibu”.

Ucapkanlah walaupun mungkin kita jarang mengatakannya, walaupun ramai yang berasa berat untuk meluahkannya.

Maka hargailah ibu kita sebelum terlambat.

Sayangilah ibu ketika beliau masih ada kerana tidak ada pelukan yang mampu menggantikan pelukan seorang ibu yang telah pergi.

▶Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg