Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kastam: Penipuan baru libat bungkusan, jongkong emas

Mangsa didesak buat bayaran atau diancam tindakan undang-undang
Dec 3, 2025 | 5:30 PM
kastam singapura, tipu, bungkusan, samar, jongkong emas
Mangsa menerima kiriman WhatsApp atau e-mel yang mendakwa bungkusan atau jongkong emas mereka ditahan oleh pihak kastam. - Foto KASTAM SINGAPURA

Sejak kebelakangan ini, dua jenis penipuan bungkusan baru muncul, di mana penipu menyamar sebagai pegawai Kastam Singapura untuk memperdaya mangsa supaya membayar sejumlah wang atau mendedahkan maklumat perbankan mereka.

Kastam Singapura berkata dalam satu kenyataan pada 3 Disember bahawa penipuan tersebut, yang dikesan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, melibatkan e-mel dan kiriman WhatsApp yang mendakwa bahawa bungkusan atau jongkong emas ditahan oleh agensi itu.

Mangsa akan didesak untuk membuat pembayaran atau berdepan ancaman tindakan undang-undang, lapor The Straits Times (ST).

Dalam jenis penipuan pertama, penipu yang menyamar sebagai Kastam Singapura akan menghantar e-mel menerusi akaun sgpcustoms648171@gmail.com dan mendakwa bahawa satu bungkusan telah ditahan atas sebab pematuhan.

Mangsa menerima notis palsu yang mengarahkan mereka hadir secara fizikal untuk pemeriksaan barangan tersebut, yang kononnya dijadualkan beberapa hari kemudian. 

Dokumen itu disertakan dengan butiran yang seolah-olah milik salah seorang pengurusan kanan Kastam.

Penipu kemudian memberitahu mangsa bahawa mereka tidak perlu hadir untuk pemeriksaan dan boleh memilih untuk membayar sejumlah wang pengesahan ke akaun bank di Malaysia.

Mangsa diberitahu bahawa bungkusan akan diberi kepada mereka selepas pembayaran dibuat dan wang pengesahan itu akan dipulangkan. 

Mereka juga diminta mengisi Perjanjian Pemeriksaan Kastam Singapura palsu, termasuk butiran akaun bank mereka, bagi tujuan pemulangan wang.

Apabila tarikh akhir semakin hampir, penipu menghantar e-mel susulan dengan nada ugutan, menuntut pemindahan wang melalui bank atau memberi amaran bahawa polis Malaysia akan dimaklumkan untuk mengambil tindakan kerana barangan tersebut adalah barang larangan.

Beberapa mangsa yang menghubungi Kastam Singapura untuk menyemak kesahihan e-mel dan dokumen tersebut menggunakan nombor telefon berdaftar Malaysia.

Dalam jenis penipuan kedua, penipu menyamar sebagai pegawai Kastam Singapura dan akan menghubungi mangsa melalui WhatsApp.

Mereka mendakwa bahawa jongkong emas yang didaftarkan atas nama mangsa sedang ditahan oleh Kastam Singapura.

Gambar jongkong emas tersebut akan dihantar kepada mangsa serta dokumen palsu yang menggunakan logo lama Kastam Singapura dan maklumat penghantaran yang palsu.

Penipu mengarahkan mangsa membuat pembayaran untuk mendapatkan jongkong emas itu, sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan penyitaan emas, tindakan undang-undang atas alasan “pengelakan kastam” dan disenarai hitam daripada sebarang penghantaran pada masa hadapan.

Kastam Singapura mengingatkan orang ramai bahawa agensi itu tidak pernah meminta bayaran untuk melepaskan bungkusan dan surat-menyurat rasmi hanya dihantar melalui alamat e-mel yang berakhir dengan customs.gov.sg.

Agensi itu juga tidak akan berkomunikasi mengenai urusan rasmi melalui e-mel peribadi, WhatsApp atau platform pesanan lain, atau media sosial.

Pegawai pemerintah tidak akan sesekali meminta wang atau maklumat bank melalui panggilan telefon, mesej teks atau e-mel.

Orang ramai dinasihatkan untuk mempercayai hanya Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar daripada identifikasi (ID) pengirim gov.sg.

Individu yang tidak pasti tentang kesahihan komunikasi boleh mengesahkannya dengan menghantar e-mel kepada customs_feedback@customs.gov.sg atau menghubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799.

Penipuan hendaklah dilaporkan kepada polis melalui: https://www.police.gov.sg/e-services/lodge-police-report

Kastam Singapura menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada untuk membantu membanteras cubaan penipuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg