Kastam S’pura kutip $12.1b hasil GST, duti pada 2025
Peningkatan daripada S$11.7b dicatat pada 2024
Sebanyak $12.1 bilion dapat dikumpulkan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta duti kastam dan eksais pada 2025, demikian menurut kenyataan Kastam Singapura pada 26 Januari.
Daripada jumlah itu, $8.9 bilion adalah hasil GST, dan $3.2 bilion daripada duti kastam dan eksais.
Hasil cukai yang dipungut itu disalurkan terus bagi membiayai perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, prasarana dan program kemasyarakatan.
Angka bagi 2025 itu adalah satu peningkatan berbanding $11.7 bilion yang dicatatkan pada 2024 – $8.5 bilion daripada GST dan $3.2 bilion daripada duti kastam dan eksais.
Dalam pada itu, duti yang dipungut bagi kenderaan bermotor juga meningkat kepada $405.8 juta pada 2025, berbanding $370.6 juta pada 2024.
Duti bagi petroleum, diesel dan gas asli termampat (CNG) yang dipungut susut kepada $976.7 juta pada 2025, berbanding $992 juta pada 2024.
Duti tembakau yang dipungut kekal sama pada 2025 dan 2024, iaitu sebanyak $1.1 bilion.
Jumlah kes melibatkan kesalahan berkaitan tembakau meningkat kepada lebih 30,000 kes pada 2025, berbanding lebih sedikit daripada 20,000 kes pada 2024.
Kes berkaitan GST pula melonjak kepada 9,940 kes pada 2025 – hampir seganda berbanding 5,447 kes pada 2024.
Kenyataan itu turut mendedahkan siasatan yang mendapati berlakunya pengisytiharan kurang tepat bagi sekitar 260 kenderaan import, yang mengakibatkan lebih $1 juta duti dan GST tidak dibayar.
Sementara itu, usaha turut dipertingkat bagi menyelaraskan keperluan kawal selia bagi perniagaan, dengan lebih 9.3 juta permit TradeNet dikeluarkan pada 2025, meningkat daripada sekitar sembilan juta pada 2024.
TradeNet ialah platform Singapura bagi membuat pengisytiharan kastam.
Penggunaan data dan kecerdasan buatan (AI) juga dipertingkatkan dengan pelancaran Sistem Analitik Data dan AI (Daisy) pada November 2025.
Matlamatnya adalah untuk “mengenal pasti risiko lebih awal, menyasarkan penguatkuasaan dengan lebih tepat serta memudahkan cara perdagangan sah dengan lebih tegas”, menurut kenyataan itu.
Ketua Pengarah Kastam Singapura, Encik Tan Hung Hooi, berkata sistem tersebut mempunyai lebih 80 jadual data, 200 pengguna dan 14 kes penggunaan.
“Data dan AI bukan lagi sekadar alat sokongan bagi kerja kami.
“Kami kini telah beralih daripada maklumat yang berpecah-belah kepada cerapan yang bersepadu dan dipercayai, yang membolehkan kami mengesan risiko lebih awal dan bertindak dengan lebih pantas,” tegasnya.

