Kawasan latihan yang dibesarkan di Shoalwater Bay (SWBTA) melambangkan kepercayaan berterusan dalam mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan Angkatan Pertahanan Australia (ADF), kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How.
Berucap pada majlis pembukaan bagi penyelesaian pembesaran SWBTA di Kem Tilpal di Queensland, Australia, pada 13 November, beliau berkata SWBTA yang diperluaskan kini lima kali ganda lebih besar berbanding saiz Singapura.
Beliau menambah ini amat bernilai bagi Singapura, yang mempunyai kawasan latihan yang terhad.
“Ia (SWBTA) adalah kawasan latihan berkualiti tinggi, yang membolehkan SAF dan ADF meningkatkan keupayaan operasi serta kesiapsiagaan mereka.
“Kedua-dua angkatan tentera kita akan mendapat manfaat yang besar daripada kemudahan ini pada tahun-tahun akan datang,” jelas Encik Heng, yang percaya bahawa dengan pembesaran itu, lebih banyak kawasan latihan yang besar dan kompleks boleh dilaksanakan.
Bertujuan menjadi kawasan latihan ketenteraan bagi SAF dan ADF, ia menandakan pencapaian penting di bawah Perjanjian Latihan Ketenteraan dan Pembangunan Kawasan Latihan di Australia, satu komponen utama dalam Rakan Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara.
Setiausaha Jabatan Pertahanan Australia, Encik Greg Moriarty, turut menyambut baik kerjasama itu dan berkata penyiapan projek tersebut adalah pencapaian terbaru CSP kedua-dua negara.
“Kami mengiktiraf dan menghargai sokongan terhadap latihan masing-masing, dan akses ini memperkukuhkan keupayaan kita dalam memperkuatkan keselamatan serta memajukan kepentingan bersama untuk mengekalkan kestabilan serantau,” katanya.
Projek pembesaran itu mula dibangunkan secara bersama oleh kedua-dua Singapura dan Australia pada 2016.
Ia memberi tumpuan kepada penubuhan kemudahan terkini yang bertujuan memperkukuh keupayaan berperang pada masa hadapan.
Ini termasuk kawasan latihan yang mampu memuatkan kedua-dua latihan udara dan darat, latihan tembakan langsung bagi operasi perbandaran serta penubuhan kem terbaru, iaitu Kem Tilpal.
Penubuhan kem itu menjadikannya kem keempat yang terletak di SWBTA untuk kegunaan SAF.
Sesuai dengan pembesaran itu, SWBTA kini mampu menampung sehingga 6,200 tentera SAF setahun serta dapat memanjangkan lagi tempoh Latihan Wallaby daripada enam kepada sembilan minggu.
Ketika lawatannya ke Kem Tilpal, Encik Heng disambut dengan tarian tradisional oleh masyarakat orang asli yang menginap di kawasan Shoalwater Bay, sebelum diberi taklimat mengenai keadaan serta kemudahan yang terdapat di kem tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut melihat kawasan latihan terkini di Shoalwater Bay.
Beliau menaiki kenderaan yang digunakan untuk Latihan Trident seperti helikopter CH-47F; kapal pemunggah darat (LST) RSS Endurance; dan Kapal Utiliti Laju (FCU), sambil menyaksikan latihan bersepadu SAF dari laut ke darat bagi latihan tersebut.
Sesuai dengan pencapaian tahun ke-34 latihan SAF di SWBTA pada 2024, Encik Heng turut menyampaikan penghargaannya kepada kerajaan Australia serta masyarakat tempatan atas sokongan mereka.
“Pencapaian yang ketara ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan kuat masyarakat setempat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang mendalam kepada anda semua kerana mengalu-alukan SAF ke dalam masyarakat Rockhampton dan Livingstone Shire, dan melayani kakitangan kami – bukan sahaja untuk projek ini, tetapi untuk latihan SAF selama 34 tahun yang lalu sejak kami adakan latihan Wallaby pertama pada 1990,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg