Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawasan seluas 800 hektar ditambak di Pulau Tekong

Tanah tambak dirancang bagi tujuan latihan tentera, bolehkan ruang di tanah besar untuk kegunaan lain seperti rumah baru, kemudahan rakyat S’pura
Sep 8, 2025 | 4:21 PM
Singapura, Pulau Tekong, tambak, tanah
Tanah seluas 800 hektar telah ditambak dengan kerja-kerja pembinaan untuk polder pertama Singapura selesai di Pulau Tekong. - Foto ST

Satu kawasan tanah berukuran seganda lebih besar daripada bandar Toa Payoh telah ditambak di Pulau Tekong, umum pemerintah pada 8 September.

Ini menandakan kali pertama Singapura menambak tanah di bawah purata paras laut.

Kawasan tanah berukuran seluas 800 hektar itu ditambak di hujung barat laut Pulau Tekong, pulau luar pesisir terbesar Singapura yang menjadi tempat latihan bagi ramai rekrut perkhidmatan negara (NS), lapor The Straits Times (ST).

Tanah yang ditambak itu dirancang bagi tujuan latihan ketenteraan.

Ini membuka ruang di tanah besar Singapura untuk kegunaan lain seperti pembangunan rumah baru dan kemudahan bagi rakyat Singapura, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta agensi air negara PUB dalam satu kenyataan bersama.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melawat tapak pada 8 September untuk meninjau projek tersebut.

Ia amat bermakna bagi Encik Wong, yang pertama kali mengumumkan projek ini pada 2016 ketika beliau masih Menteri Pembangunan Negara.

Proses penambakan tanah itu dijalankan dengan kaedah memperkukuh, atau ‘empoldering’, dan kerja-kerja pembinaan utama bagi tanah dan infrastrukturnya telah selesai pada penghujung 2024.

Kerja-kerja ini melibatkan pembinaan benteng pantai setinggi enam meter di sekitar kawasan yang akan ditambak, diikuti dengan pengepaman air untuk menghasilkan tanah rendah bawah paras laut yang dikenali sebagai polder.

Polder Tekong terletak kira-kira 1.2 meter di bawah purata paras laut.

Ramalan iklim menunjukkan paras laut di sekitar Singapura mungkin meningkat sehingga lima meter menjelang 2100.

Pihak berkuasa berkata ketinggian benteng pantai boleh dinaikkan jika diperlukan. 

Dengan hujan lebat akibat perubahan iklim, paras air di polder dikawal oleh saliran sepanjang 45 kilometer yang mencegah banjir dan air bertakung. 

Rangkaian ini termasuk dua stesen pam, longkang dan kolam tadahan air hujan seluas 116 hektar, cukup untuk menampung air bagi 2,000 kolam renang Olimpik. 

Bahagian dalam stesen pam di polder pertama Singapura di Pulau Tekong.
Bahagian dalam stesen pam di polder pertama Singapura di Pulau Tekong. - Foto ST

Semasa hujan lebat, pam tersebut boleh mengosongkan satu kolam renang Olimpik dalam kurang tiga minit.

Ini adalah kali pertama kaedah memperkukuh digunakan di Singapura.

Tanah biasanya ditambak dengan cara mengepung kawasan dan meletakkan bahan, yang kebanyakannya terdiri daripada pasir, untuk menghasilkan tanah baru.

Pihak berkuasa berkata penebusan tanah melalui kaedah ini telah mengurangkan penggunaan pasir hampir separuh berbanding dengan kaedah konvensional.

Ini menjadikan kaedah memperkukuh ini pilihan menarik bagi Singapura yang menambak lebih banyak tanah dan mengukuhkan perlindungan pantai akibat kenaikan paras laut.  

Jurutera utama kanan PUB, Encik Thomas Pang, berkata agensi tersebut telah memasang sistem automatik sepenuhnya, dengan lebih 170 kamera litar tertutup dan lebih daripada 260 sensor dipasang di seluruh polder untuk memantau benteng pantai.

“Ini membolehkan operasi masa nyata dari pusat kawalan polder dan pusat operasi bersama PUB di tanah besar Singapura,” tambahnya. 

Pihak berkuasa berkata ujian terakhir dan kerja-kerja pelaksanaan masih dijalankan untuk beberapa infrastruktur projek, termasuk perkhidmatan telekomunikasinya.

Setelah kerja-kerja ini selesai pada akhir 2025, projek penambakan tanah yang dijalankan oleh HDB akan diserahkan kepada PUB dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Dalam mereka bentuk benteng pantai, pemerintah berkata ia bekerjasama dengan Belanda, yang telah lama menggunakan kaedah memperkukuh, untuk menyesuaikan teknologi ini dengan konteks Singapura.

Walaupun keadaan pantai dan ombak di Singapura lebih tenang, hujan di sini biasanya lebih lebat, kata agensi-agensi tersebut.

Struktur kawalan air di polder pertama Singapura di Pulau Tekong.
Struktur kawalan air di polder pertama Singapura di Pulau Tekong. - Foto ST

Oleh itu, sistem saliran polder dan stesen pam direka khusus untuk iklim tropika Singapura.

Mengenai masa depan kaedah memperkukuh, pihak berkuasa berkata pengalaman daripada pengurusan polder Tekong akan membantu menilai kelayakannya untuk projek penambakan tanah akan datang.

“Sebagai polder pertama Singapura, kos operasi dan penyelenggaraan benteng pantai serta sistem pengurusan air hanya dapat ditentukan selepas ia beroperasi untuk suatu tempoh,” kata HDB dan PUB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg