Di samping Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL), Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengambil langkah selanjutnya untuk meningkatkan ketersambungan bandar melalui Program Peningkatan Rangkaian Bas (BCEP) yang diumumkan baru-baru ini.
Langkah-langkah termasuk memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan bas ekspres pada waktu sibuk serta perkhidmatan bas Express Feeder baru.
Demikian dikatakan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, sebagai menjawab usul penangguhan oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai.
Encik Leong menggesa pemerintah supaya meningkatkan ketersambungan rakyat Singapura yang menetap di kawasan barat Singapura.
Beliau merujuk kepada gangguan kereta api di sepanjang Laluan Timur-Barat (EWL) antara 25 dengan 30 September.
“Apabila kita bercakap mengenai sambungan kereta api, kawasan timur Singapura jauh lebih baik daripada kawasan barat.
“Terdapat tiga laluan kereta api yang bergerak seiringan menghubungkan kawasan timur ke pusat bandar iaitu Laluan Timur-Barat, Laluan Downtown dan Laluan Thomson-East Coast.
“Sekiranya Laluan Timur-Barat gagal di kawasan timur, penduduk di sana mempunyai lebih banyak pilihan berbanding mereka yang menetap di kawasan barat.
“Gangguan selama enam hari itu mendorong kami supaya bertanya sama ada Pelan Induk Pengangkutan Darat (LTMP) 2040 mencukupi untuk menjadikan Pusat Bandar 45 Minit dan Bandar 20 Minit satu realiti bagi penduduk di kawasan barat, meskipun segala pengangkutan beroperasi seperti biasa dan semua rancangan dalam Pelan Induk 2040 menjadi kenyataan,” kata Encik Leong.
Menjawab, Dr Khor berkata LTMP 2040 yang akan mewujudkan bandar 45 minit dan bandar 20 minit menjelang 2040 melangkaui mengurangkan masa perjalanan.
“Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang mengkaji West Coast Extension, yang meningkatkan jaringan pengangkutan antara JRL untuk menyambung ke CRL, demi memperbaik lagi sambungan rel dan kebingkasan di kawasan barat,” kata Dr Khor.
“Ia juga berhubung dengan pembentukan semula cara rakyat Singapura berfikir tentang ketersambungan pusat bandar, seperti mewujudkan lebih banyak pusat pekerjaan dan menghubungkannya dengan lebih baik dengan kawasan kediaman.”
Selain meningkatkan ketersambungan pengangkutan, beliau berkata penduduk di kawasan barat akan mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan yang berhampiran dengan rumah mereka melalui pembangunan pusat serantau seperti Jurong Lake District dan Jurong Innovation District.
Dalam pada itu, Encik Leong menyarankan agar pemerintah mengambil dua pendekatan iaitu untuk menghubungkan JRL dengan Laluan Circle dan CRL, serta untuk menambah baik pengangkutan awam di Barat dengan rangkaian perkhidmatan bas skip-stop.
Bas skip-stop adalah khidmat yang hanya berhenti di beberapa perhentian dengan permintaan tinggi di setiap kawasan sepanjang laluan untuk membolehkan penumpang berhubung antara kawasan dengan lebih cepat.
Dr Khor akur meskipun kemajuan yang besar telah dicapai, pemerintah belum selesai membina Singapura yang lebih terhubung.
Justeru, beliau berkata rancangan pemerintah menambah baik prasarana pengangkutan “akan mengambil masa” dan beliau “memohon kesabaran dan sokongan rakyat Singapura dan penduduk di kawasan barat”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg