Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keadaan keluarga dililit hutang tanam hasrat jadi pekerja sosial

Jul 25, 2024 | 12:52 PM
Sebagai salah seorang penerima Hadiah Izzuddin Taherally, Encik Francis Goh rasa bertuah atas pengiktirafan yang diberikan dan ia telah memberinya semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Beliau berharap latar belakang pengalamannya  membolehkan beliau menjadi lebih prihatin dalam peranan sebagai pekerja sosial.
Sebagai salah seorang penerima Hadiah Izzuddin Taherally, Encik Francis Goh rasa bertuah atas pengiktirafan yang diberikan dan ia telah memberinya semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Beliau berharap latar belakang pengalamannya membolehkan beliau menjadi lebih prihatin dalam peranan sebagai pekerja sosial. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dibelenggu konflik keluarga dan tekanan kewangan, Encik Francis Goh Jiang Hong melakarkan perjalanannya dalam dunia kerja sosial.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu ingat bagaimana rumahnya kerap diganggu pemiutang dan telah menjejas keluarganya.

“Bapa saya membawa hutang ke rumah dan kami terpaksa menghadapi gangguan daripada pemiutang serta melunaskan hutang. Hubungan antara ibu bapa saya agak teruk kerana mereka sering bertengkar, sehingga jiran-jiran terpaksa memanggil polis.

“Masa kanak-kanak saya itu sangat bergejolak dan saya mengalami banyak kesulitan ketika membesar,” kongsi Encik Goh, 26 tahun, yang juga memberitahu bahawa ibu bapanya sudah bercerai.

Setelah menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau melibatkan diri dalam aktiviti lain semasa menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam usaha meletakkan dirinya dalam persekitaran yang lebih kondusif. Ini termasuk menginap di asrama Kolej Cinnamon (Kolej NUS) selama empat tahun pengajiannya.

Menurut Encik Goh, meluangkan masa jauh daripada keluarga membolehkan beliau mendapat “kesejahteraan emosi yang lebih bernas dan ruang untuk meneroka impiannya sendiri”.

“Selama 20 tahun, saya cuba memberitahu orang tua saya dan membuat mereka mengerti perspektif saya bahawa (pertengkaran mereka) ini tidak sihat. Saya tidak boleh menumpukan perhatian pada pelajaran saya dan saya harus, setiap kali, keluar rumah untuk belajar. Saya tidak rasa tenang di rumah,” ujar Encik Goh.

Berbekalkan pengalaman latihan di Pusat Keluarga Lakeside semasa tahun pertamanya di NUS, dan penglibatan akar umbinya sebagai Pengarah Projek untuk membimbing belia daripada keluarga berpendapatan rendah pada tahun berikutnya, ia telah menariknya lebih mendalam untuk terlibat dalam kerja kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Pada 19 Julai, beliau menggenggam ijazah sarjana muda dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) dalam bidang Kerja Sosial dan juga adalah penerima Hadiah Izzuddin Taherally atas dedikasinya terhadap keharmonian sosial dan khidmat masyarakat.

Diperkenalkan pada 2019, hadiah bernilai $250 setiap satu itu akan diberikan kepada sehingga dua lulusan Kolej NUS cemerlang setiap tahun. Kali ini, Encik Brennan Kau dan Encik Goh tergolong daripada penerima hadiah tersebut.

Semasa di Pusat Keluarga Lakeside, Encik Goh ikut serta dalam pembangunan program kerja berkumpulan untuk kanak-kanak yang mengalami kehibaan dan kehilangan daripada perceraian ibu bapa.

Di bawah naungan penyelianya, Encik Goh akan memberi perhatian dan mendengar kes mereka. Meskipun latar belakangnya hampir serupa dengan kanak-kanak tersebut, Encik Goh tetap berwaspada dalam memberi huraian yang sesuai dan menetapkan sifat empati kepada mereka.

“Saya takut saya akan rasa terjejas dengan perkongsian mereka, tidak memberi gerak balas yang tepat serta mengatakan sesuatu yang terlalu peribadi.

“Mendengar perkongsian mereka memberi saya pandangan baru tentang bagaimana isu perceraian ini ditangani dengan cara yang berbeza.

“Ia mengajar saya bahawa sebagai seorang pekerja sosial, saya perlu lebih mendengar dengan teliti dan dari situ mengambil mereka sebagai titik fokus,” katanya.

Iltizam beliau untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dicerminkan apabila beliau juga menerima Biasiswa Perkhidmatan Sosial dari Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS). 

Ditanya tentang pilihan penerima Hadiah Izzuddin Taherally untuk tahun ini, Felo dan Pensyarah Kanan Adjung di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mustafa Izzuddin, berkata:

“Penilaian yang seimbang dan matang yang ditonjolkan Brennan dan Francis, serta menyalurkannya kepada tindakan konkrit, mencerminkan etos lulusan Kolej NUS sebagai pemikir kritikal dan penyumbang aktif dalam masyarakat.

“Saya pasti mereka akan mempunyai masa depan yang cerah dan menjanjikan dalam kehidupan selepas universiti mereka sebagai penggerak perubahan muda dan global, yang melihat nilai memberi kembali kepada masyarakat.”

Hadiah itu dinamakan sempena bapanya, Encik Izzuddin Taherally, seorang tokoh masyarakat dan mantan presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg