Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menandatangani perjanjian haji bagi musim haji 2025 buat jemaah Singapura bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, semasa di Jeddah.
Semasa pertemuan itu, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, turut memohon agar Singapura diberi kuota haji tambahan, melebihi kuota rasmi 900 anggota jemaah yang diberi kerajaan Arab Saudi bagi 2025.
Permintaan itu, kata Encik Masagos, akan diberikan perhatian oleh Dr Tawfiq.
“Alhamdulillah, tahun lalu (2024) semua jemaah Singapura dapat menjalankan ibadah haji dengan selamat dan pulang dengan selamat.
“Tahun ini (2025), Kerajaan Arab Saudi telah memberikan Singapura jaminan untuk kuota yang rasmi.
“Saya juga telah meminta supaya kita diberikan tambahan daripada kuota tersebut dan beliau akan memberikan perhatian atas permintaan tersebut.
“Bagi mereka yang tidak terpilih tahun ini (2025), saya memberi jaminan bahawa pemerintah Singapura akan terus bekerja rapat dengan Kerajaan Arab Saudi untuk mengusahakan peningkatan kuota haji pada masa depan untuk jemaah haji Singapura,” kata Encik Masagos.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook pada 13 Januari susulan pertemuannya bersama Dr Tawfiq yang menyaksikan kededua pemimpin mengadakan perbincangan tentang perkara berkaitan musim haji akan datang.
Bagi musim haji 2024, Singapura telah diperuntuk kuota rasmi 900 anggota jemaah.
Kuota haji rasmi Singapura adalah berdasarkan 0.1 peratus penduduk Islam di Singapura. Formula 0.1 peratus itu diputuskan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 1987.
Semasa pertemuan itu, Encik Masagos turut mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh antara Singapura dengan Arab Saudi, dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Tawfiq dan kerajaan Arab Saudi atas sokongan mereka buat jemaah Singapura.
Pertemuan itu diadakan di samping lawatan rasmi Encik Masagos ke Mesir dan Arab Saudi dari 8 hingga 15 Januari bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara Singapura dengan kededua negara itu.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Tawfiq, Kementerian Kesihatan Arab Saudi atas bimbingan dan kerjasama mereka dalam meluluskan permohonan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) untuk mengendalikan klinik perubatan bagi menyokong keperluan jemaah Singapura.
“Bagi pihak Singapura, kami akan memberikan kerjasama penuh untuk mempersiapkan jemaah bagi keberangkatan mereka ke tanah suci,” kata Encik Masagos.
Sebelum ini, semasa lawatannya ke Mesir, Encik Masagos telah bertemu dengan pelajar warga Singapura yang menuntut dalam pengajian Islam di Kahirah dan Madinah.
Beliau juga telah bertemu dengan tokoh-tokoh utama Mesir seperti Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad; Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; mantan Mufti Besar Mesir, Dr Shawki Allam dan Dr Ali Gomaa; Menteri Wakaf Agama, Dr Osama Al-Azhary; dan Menteri Perpaduan Sosial, Dr Maya Mohamed Abdel-Moneim Morsy.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg