Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Saudi pertingkat kerjasama strategik di bawah satu majlis baru

Jan 15, 2025 | 7:10 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) bertemu Menteri Ehwal Luar Kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Bin Farhan Al Saud, di Istana pada 15 Januari.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan) bertemu Menteri Ehwal Luar Kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Bin Farhan Al Saud, di Istana pada 15 Januari. - Foto MDDI

Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al Saud dari Arab Saudi, akan bertemu secara berkala bagi mengembangkan kerjasama antara Singapura dan Arab Saudi di bawah sebuah majlis baru.

Beberapa jawatankuasa peringkat menteri juga akan ditubuhkan, dengan harapan dapat memperkukuh hubungan politik, ekonomi, pertahanan, keselamatan, dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau mengatakan demikian pada 15 Januari, semasa lawatan Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Bin Farhan Al Saud, untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) mengenai Majlis Perkongsian Strategik Arab Saudi-Singapura.

Majlis Perkongsian Strategik akan menggantikan Jawatankuasa Bersama Saudi-Singapura (SSJC), yang sebelum ini dipengerusikan di peringkat menteri, diperngerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng dan Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh Bin Nasser Al-Jasser.

Perkongsian strategik itu pertama kali diumumkan semasa lawatan mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, ke Arab Saudi pada Oktober 2023.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA), Dr Balakrishnan menjelaskan bahawa langkah memperkukuh hubungan dengan Arab Saudi itu tiba tepat pada masanya.

“MOU yang baru sahaja kami tandatangani adalah satu pencapaian penting dalam hubungan antara Singapura dengan Arab Saudi.

“Di peringkat politik, kami telah mengekalkan hubungan rapat dan sentiasa mencari cara untuk mengukuhkan kerjasama,” jelasnya.

Beliau menambah dalam tempoh 14 bulan selepas lawatan terakhir Encik Lee, kedua-dua pihak telah bertukar 14 lawatan di peringkat menteri, dengan purata satu lawatan sebulan.

Dr Vivian berkata Majlis Perkongsian Strategik merupakan perkongsian strategik pertama Singapura bersama sebuah negara Timur Tengah, serta yang pertama bagi Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.

Ia akan membuka laluan kerjasama dua hala yang lebih kukuh, termasuk dalam bidang baru seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, dan kecerdasan buatan (AI).

Dr Vivian turut menyifatkan Arab Saudi sebagai rakan dagang penting.

“Perdagangan dua hala dalam barangan mencapai $10.6 bilion pada 2023 dan sedang terus berkembang.

“Syarikat terkemuka Arab Saudi telah membawa kesan ketara di Singapura, termasuk Aramco dan Saudi Basic Industries Corporation, yang melabur $220 juta untuk membuka kilang kedua mereka awal tahun ini (2025),” katanya.

Beliau turut berkongsi pelaburan langsung asing dari Arab Saudi telah mencapai S$4.1 bilion pada akhir 2022, lantas mengalu-alukan lebih banyak syarikat negara itu untuk menjadikan Singapura sebagai wadah untuk berkembang ke rantau ini.

Putera Faisal turut menggariskan bahawa Majlis Perkongsian Strategik mampu memberi peluang berharga untuk menguatkan hubungan antara kedua-dua negara di pelbagai sektor.

“Kedua-dua negara kita telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam kerjasama perdagangan. Singapura adalah salah satu pusat kewangan terpenting di dunia.

“Kami akan terus berusaha untuk merebut peluang baru bagi mencapai manfaat ekonomi yang lebih besar selaras dengan keupayaan kedua-dua negara kita dan seiring dengan kepentingan bersama,” ujar beliau dalam ucapannya.

Dr Vivian turut mengambil peluang menyampaikan hasrat Singapura untuk meningkatkan kuota jemaah haji Singapura supaya lebih ramai boleh melaksanakannya.

Beliau berkata demikian selepas melahirkan penghargaannya kepada kerajaan Arab Saudi dalam menjaga keselamatan jemaah haji Singapura.

Sebelum ini, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah melakukan lawatan ke Arab Saudi antara 8 dengan 15 Januari.

Beliau telah menandatangani perjanjian haji bagi musim haji 2025 buat jemaah Singapura bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, semasa di Jeddah.

Encik Masagos turut memohon agar Singapura diberi kuota haji tambahan, melebihi kuota rasmi 900 anggota jemaah yang diberi kerajaan Arab Saudi bagi 2025.

Dalam hantaran Facebook-nya pada 15 Januari, Encik Masagos melahirkan kegembiraannya melihat hubungan akrab kedua-dua negara itu.

Beliau percaya Majlis Perkongsian Strategik mampu mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat, peluang perniagaan dan pertukaran pelancongan.

“Di bidang perniagaan, peluang perdagangan telah membuka pintu kepada lebih banyak produk yang disahkan halal oleh Muis untuk memasuki pasaran Saudi dan bagi syarikat di Arab Saudi untuk memperkenalkan produk halal mereka di Singapura.

“Saya galakkan para peniaga Singapura untuk menggunakan Arab Saudi sebagai gerbang masuk untuk mengembangkan sayap ke pasaran Timur Tengah,” tulisnya.

Beliau menambah perbincangannya bersama Gabenor Taif, Putera Saud Bin Nahar Bin Saud “amat memberangsangkan” sedang mereka mereka meneroka potensi kerjasama untuk mewujudkan peluang menarik bagi perniagaan Singapura dan pelancong yang melawat Taif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg