Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keandalan MRT merosot ke paras terendah sejak 2020

Sep 5, 2025 | 5:21 PM
Laluan Circle (CCL) yang dikendalikan SMRT kekal sebagai laluan paling kurang andal antara lima laluan MRT yang disenaraikan dalam laporan suku tahunan LTA.
Laluan Circle (CCL) yang dikendalikan SMRT kekal sebagai laluan paling kurang andal antara lima laluan MRT yang disenaraikan dalam laporan suku tahunan LTA. - Foto ST

Kebolehpercayaan rangkaian MRT bagi tempoh 12 bulan hingga Jun 2025 jatuh ke paras terendah sejak 2020, menurut angka terbaru yang dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Secara purata, rangkaian MRT mencatat 1.6 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan melebihi lima minit dalam tempoh tersebut, turun berbanding 1.98 juta kilometer pada 2024.

Pada 2020, ia mencatat purata 1.45 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan.

LTA mengeluarkan data kebolehpercayaan khidmat kereta api, secara suku tahunan menggunakan purata pergerakan 12 bulan bagi purata kilometer antara gangguan (MKBF).

MKBF merujuk kepada piawaian kejuruteraan yang mengukur jarak perjalanan kereta api sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit.

Singapura telah menetapkan sasaran MKBF sebanyak sejuta kilometer perjalanan bagi rangkaian MRT, dan sasaran ini telah dicapai oleh semua laluan MRT meskipun berlaku penurunan keseluruhan dalam prestasi kebolehpercayaan.

Laluan Timur Laut (NEL) dan Laluan Circle (CCL) mencatat peningkatan dalam kebolehpercayaan, namun tiga laluan MRT lain menunjukkan prestasi menurun berbanding 2024.

Kereta api CCL yang dikendalikan SMRT mencatat purata 1.07 juta kilometer perjalanan, naik berbanding 919,000 kilometer pada 2024 namun masih jauh daripada paras tertinggi 1.84 juta kilometer yang dicatat pada 2022.

Kebolehpercayaan CCL kekal sebagai terendah antara lima laluan MRT yang disenaraikan dalam laporan LTA, tidak termasuk Laluan Thomson-East Coast (TEL) yang juga dikendalikan SMRT.

LTA sebelum ini menjelaskan bahawa angka TEL belum mencerminkan kebolehpercayaan sebenar kerana laluan itu masih baru beroperasi, lapor The Straits Times (ST).

Menurut data LTA, NEL merupakan laluan paling cemerlang dalam rangkaian, mencatat 4.23 juta kilometer perjalanan dalam tempoh tersebut, naik berbanding 4.1 juta kilometer pada 2024. 

Laluan Downtown (DTL) yang sebelum ini merupakan laluan paling cemerlang sejak 2020, mencatat 4.12 juta kilometer perjalanan antara kelewatan hingga Jun 2025, turun berbanding rekod tertinggi 8.13 juta kilometer pada 2024. 

Kedua-dua NEL dan DTL dikendalikan oleh SBS Transit.

Di tempat ketiga ialah Laluan Timur-Barat (EWL), dengan 1.44 juta kilometer perjalanan, turun berbanding 1.69 juta kilometer pada 2024.

Di tempat keempat ialah Laluan Utara-Selatan (NSL) dengan 1.24 juta kilometer perjalanan, turun berbanding 2.49 juta kilometer pada 2024. 

Dua laluan tertua dalam rangkaian MRT itu dikendalikan oleh SMRT.

Kebolehpercayaan rangkaian LRT pula meningkat kepada purata 534,000 kilometer perjalanan kenderaan antara kelewatan dalam tempoh 12 bulan hingga Jun 2025 berbanding 382,000 kilometer pada 2024.

Kedua-dua laluan LRT mencatat prestasi lebih baik – Laluan Sengkang-Punggol (SPLRT) yang dikendalikan SBS Transit mencatat 1.25 juta kilometer perjalanan kenderaan, naik berbanding 549,000 kilometer pada 2024.

Laluan Bukit Panjang (BPLRT) yang dikendalikan SMRT pula mencatat 247,000 kilometer perjalanan kenderaan, meningkat daripada 232,000 kilometer pada 2024.

Dalam laporan terkini, LTA turut membuat perbandingan prestasi MRT tempatan dengan sistem metro di negara lain berdasarkan sumber awam terkini.

Data menunjukkan kebolehpercayaan MRT Singapura lebih tinggi berbanding sistem metro di Hong Kong dan New York, namun masih di belakang Taipei bagi 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg