Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SMRT akan didenda $3j akibat gangguan Laluan Timur-Barat pada Sep 2024

LTA: Denda akan disalur ke Tabung Pengangkutan Awam bagi bantu keluarga berpendapatan rendah
Jun 3, 2025 | 8:40 PM
Denda yang diterima LTA akan disalurkan ke Tabung Pengangkutan Awam bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan pengangkutan awam mereka.
Denda yang diterima LTA akan disalurkan ke Tabung Pengangkutan Awam bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan pengangkutan awam mereka. - Foto fail

Pengendali rel SMRT bakal didenda sebanyak $3 juta kerana gangguan perkhidmatan Laluan Timur-Barat (EWL) pada 25 September 2024, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 3 Jun.

LTA berkata denda yang bakal dikenakan itu diputuskan selepas menimbangkan kesan akibat kejadian itu serta usaha SMRT membelanjakan lebih $10 juta untuk membiayai pengaturan perjalanan alternatif dan kerja-kerja pembaikan semasa gangguan tersebut.

Gangguan selama enam hari itu, yang dianggap sebagai salah satu yang terburuk dalam sejarah Singapura, menjejas EWL antara 25 dengan 30 September, serta memberi kesan kepada sekitar 2.6 juta penumpang.

“SMRT telah menanggung kos pembaikan, penyediaan perkhidmatan bas pengantara dan biasa percuma, serta perkhidmatan kereta api ulang-alik di stesen-stesen yang terjejas.

“SMRT juga telah menyediakan perjalanan percuma kepada penumpang yang berhenti di stesen Jurong East dan Buona Vista sepanjang enam hari gangguan,” kata LTA.

LTA menambah denda yang diterima akan disalurkan ke Tabung Pengangkutan Awam bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan pengangkutan awam mereka.

Bertemu wartawan di pejabat mereka pada dinihari 3 Jun, LTA turut membentangkan hasil siasatan insiden tersebut. 

Dalam laporannya, LTA mendapati pengurusan gangguan perkhidmatan oleh SMRT ialah memuaskan, walaupun terdapat kekeliruan pada beberapa jam pertama selepas insiden berlaku. Ini termasuk tindakan segera mengaktifkan bas awam percuma dan bas ulang-alik penghubung.

LTA juga mengiktiraf bagaimana SMRT dengan pantas mengehadkan sektor yang terjejas di EWL antara stesen Jurong East dengan Buona Vista sebaik sahaja ia selamat untuk berbuat demikian.

Selain usaha SMRT sendiri, kontraktor LTA daripada projek rel lain juga dikerah untuk membantu kerja pembaikan dan pemulihan.

Kerja pembaikan selesai pada 30 September dan perkhidmatan kereta api biasa disambung semula pada 1 Oktober selepas ujian keselamatan dijalankan.

Mengulas mengenai kerosakan yang berlaku, LTA berkata minyak yang hilang keupayaan pelincirannya di kereta api itu berkemungkinan menyebabkan sebahagian daripada bahagian bawah kereta api terpisah, sekali gus mencetuskan gangguan itu.

Gangguan berlaku pada pagi 25 September 2024 apabila satu bahagian kereta api, kotak gandar atau ‘axle box’ – yang menghubungkan pada roda – terjatuh berhampiran stesen Dover ketika ia sedang menghentikan operasinya dan dihantar ke Depoh Ulu Pandan.

Ini menyebabkan salah satu daripada 12 bogi kereta api – struktur di bawah gerabak – tergelincir dari landasan.

Kereta api generasi pertama – Kawasaki Heavy Industries (KHI) – itu masih dapat bergerak kerana 11 bogi lain masih lagi berada di atas landasan.

Namun, bahagian gerabak yang tergelincir telah menyebabkan kerosakan besar sepanjang 2.55 kilometer landasan dan peralatan tepi landasan, seperti kabel kuasa dan rel ketiga yang membekalkan kuasa elektrik kepada kereta api.

LTA mendapati minyak yang berfungsi melincirkan bearing gandar dalam kotak gandar kemungkinan telah kehilangan keupayaan pelincirannya.

Ia merupakan bahagian mekanikal yang membolehkan roda berputar dengan lancar semasa kereta api bergerak.

Minyak yang telah hilang keupayaan pelincirannya boleh menyebabkan lebih kehausan pada bearing dan akhirnya menjadikannya lebih panas.

Kotak gandar diperkukuh oleh spring chevron – plat logam yang disambungkan bersama oleh getah yang menyerap getaran semasa kereta api beroperasi.

LTA berkata hasil siasatannya menunjukkan bahawa bearing telah menghasilkan haba yang cukup untuk membakar lapisan getah di antara spring, menyebabkan ia hancur.

Dengan spring yang semakin rosak secara berperingkat, kotak gandar kemudian terkeluar dari tempatnya.

Kotak gandar serta bearing-nya mengalami kerosakan teruk, dan minyak dalam kotak gandar telah terbakar sepenuhnya apabila bahagian-bahagian itu ditemui semula.

Sisa daripada spring chevron yang ditemui juga terlalu rosak untuk dijalankan ujian bagi menentukan sebarang kerosakan awal sebelum kejadian, kata LTA.

LTA berkata, urutan kejadian itu disokong oleh alat pemantauan yang dipasang SMRT berhampiran stesen Lavender, yang mengesan suhu 118 darjah Celsius pada kotak gandar yang terjejas pada pagi tersebut – jauh lebih tinggi daripada suhu operasi biasa sehingga 65 darjah Celsius.

Namun, kesilapan sistem menyebabkan SMRT tidak dapat mengenal pasti kereta api yang dipasang kotak gandar tersebut, lalu seorang kakitangan tersilap menganggap pemberitahuan itu sebagai amaran palsu.

Tiada tindakan susulan diambil.

Kereta api KIH itu sepatutnya digantikan secara berperingkat dengan kereta api baru namun penyerahan kepada SMRT itu telah ditangguhkan selama 1 setengah tahun akibat pandemik Covid-19.

LTA menambah penyelenggaraan pencegahan biasa yang dijalankan oleh SMRT ke atas kereta api yang terlibat pada 10 September 2024, tidak menemui sebarang kerosakan pada kotak gandarnya.

Selain itu, LTA juga mendapati kereta api tersebut telah mencatat 690,000 kilometer sejak pemeriksaan baik pulih atau ‘overhaul’ terakhir pada Julai 2018.

Lazimnya, kereta api akan menjalani pemeriksaan baik pulih jika mencapai 500,000 kilometer.

Namun, kereta api tersebut dijadualkan menjalani pemeriksaan baik pulih selepas mencapai 750,000 kilometer.

“Lanjutan masa ini dibuat berdasarkan prosedur dalaman SMRT, dan SMRT bergantung pada analisis prestasi kereta api KHI serta kecekapannya yang berterusan.

“Ini memutuskan SMRT untuk melanjutkan masa pemeriksaan baik pulih bagi kereta api yang terlibat,” kata LTA.

Semasa pemeriksaan baik pulih, kotak gandar, bearing, dan spring chevron akan diganti jika terdapat keperluan, serta minyak baru disapu pada bearing.

Ketika insiden terjadi, 18 daripada 38 kereta api KIH yang masih beroperasi telah menjalani pemeriksaan baik pulih.

Mengulas mengenai insiden itu, Presiden, SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, berkata insiden kotak gandar terlepas “amat jarang berlaku, berlaku secara tiba-tiba dan boleh mengakibatkan kerosakan serius”.

Menurutnya, insiden sedemikian pernah berlaku di sistem metro yang lain, dan ia tetap mengejutkan mereka disebabkan sifatnya yang mendadak.

“Rejim pemeriksaan baik pulih kami telah berkhidmat dengan baik selama 38 tahun lalu.

“Apa yang mungkin mengejutkan kami kali ini adalah gabungan beberapa faktor – kelewatan penghantaran kereta api baru akibat COVID-19, usaha kami untuk seimbangkan dan sesuaikan jadual pemeriksaan baik pulih, serta kelewatan dalam mendapatkan alat ganti kritikal,” katanya.

Beliau menambah untuk kejadian luar biasa seperti COVID-19, adalah penting bagi SMRT dan LTA, sebagai pengendali dan pemilik aset, untuk bekerjasama menilai semula secara menyeluruh serta lebih berhati-hati dalam menguruskan peralihan dan penamatan penggunaan kereta api lama.

Dalam satu catatan Facebook-nya pada 3 Jun, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling, pula berkata kesatuan itu mengiktiraf betapa beratnya insiden tersebut dan kepentingan untuk mengekalkan piawaian penyelenggaraan yang ketat.

Ini agar memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam di sini, katanya yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Punggol.

“Berikutan gangguan perkhidmatan di EWL, satu Pasukan Kerja Semakan Keselamatan dan Kebolehpercayaan Rel tiga pihak yang dianggotai wakil-wakil dari LTA, SMRT dan NTWU telah ditubuhkan pada November 2024 bagi menyemak dan menambah baik amalan dalam keseluruhan ekosistem rel.

“Pasukan kerja ini juga telah menjalinkan kerjasama aktif dengan pengendali metro serantau di Guangzhou dan Taipei untuk mendapatkan amalan terbaik bagi semakan tersebut.

“NTWU kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menangani isu-isu yang dikenal pasti dan melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya sambil memuji dedikasi tenaga kerja SMRT dan Pengendali Pengangkutan Awam.

Dalam pada itu, Profesor Madya Walter Theseira, daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), menjangkakan denda itu tidak akan memberi kesan kepada pengguna pengangkutan.

Ini kerana SMRT diwajibkan untuk mengekalkan standard operasi yang ditetapkan oleh LTA, dan ini dipantau LTA, katanya.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata:

“SMRT tidak sepatutnya mengubah aspek yang penting kepada pengguna seperti kekerapan kereta api, kebolehpercayaan, dan sebagainya.

“Malah, jika ada apa-apa perubahan, penyelenggaraan telah dipertingkatkan terutama pada bahagian yang berkaitan dengan insiden tersebut.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg