Kebolehpercayaan rangkaian MRT merosot untuk dua bulan berturut-turut hingga akhir September berbanding Ogos.
Demikian berdasarkan data terkini daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang dikeluarkan pada 14 November.
Secara purata, rangkaian MRT mencatatkan 1.67 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan melebihi lima minit, sebelum terjadinya satu kes kelewatan, bagi tempoh antara Oktober 2024 dengan September 2025.
Angka itu lebih rendah berbanding purata 1.74 juta kilometer bagi tempoh antara September 2024 dengan Ogos 2025.
Buat kali pertama, LTA pada 14 November menerbitkan data mengenai tiga penunjuk baru kebolehpercayaan dan pengalaman penumpang bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang prestasi rangkaian rel, lapor The Straits Times (ST).
Salah satunya adalah ketepatan masa rangkaian MRT yang menunjukkan 99.16 peratus kereta api bergerak mengikut jadual pada September.
Penunjuk lain pula memperlihatkan kesan gangguan kereta api terhadap penumpang, serta peratusan perkhidmatan kereta api yang beroperasi mengikut jadual.
Pada September, terdapat dua gangguan besar melebihi 30 minit pada rangkaian MRT – satu berlaku di Laluan Circle (CCL) pada 1 September dan satu lagi di Laluan Timur-Barat (EWL) pada 16 September.
Menurut laporan LTA, Laluan Utara-Selatan (NSL), yang dikendalikan SMRT, adalah satu-satunya laluan MRT yang mencatat prestasi lebih rendah berbanding purata pergerakan pada Ogos.
Setakat September, laluan tersebut mencatat 1.24 juta jarak kilometer perjalanan tanpa kelewatan, sebelum terjadinya satu kes kelewatan, iaitu penurunan daripada 1.65 juta kilometer perjalanan pada Ogos.
Ini menjadikannya laluan dengan kebolehpercayaan terendah di seluruh rangkaian MRT.
Satu gangguan telah berlaku di laluan NSL dari stesen Woodlands ke Yishun akibat kerosakan kereta api pada petang 2 September, yang mengakibatkan penundaan perjalanan penumpang dari 8.05 malam hingga sekitar 8.50 malam.
Sekitar tengah hari pada 14 September, satu lagi gangguan berlaku dari stesen Newton ke Ang Mo Kio.
Dalam kedua-dua kejadian itu, SMRT dapat menyambung semula sebahagian perkhidmatan dalam masa kurang 30 minit.
Laluan Downtown (DTL) kekal sebagai laluan dengan prestasi terbaik antara lima laluan yang disenaraikan dalam laporan LTA.
Ia mencatat 2.77 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan, sebelum terjadinya satu kes kelewatan setakat September, iaitu peningkatan berbanding 2.76 juta kilometer perjalanan pada Ogos.
Di tempat kedua ialah Laluan Timur Laut (NEL), yang menunjukkan peningkatan dalam kebolehpercayaan, merekodkan 2.16 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan, sebelum terjadinya satu kes kelewatan, meningkat daripada 2.14 juta kilometer perjalanan pada Ogos.
Kedua-dua DTL dan NEL dikendalikan oleh SBS Transit (SBST).
Di tempat ketiga ialah EWL, yang mencatat 1.7 juta kilometer perjalanan, tanpa kelewatan, sebelum terjadinya satu kes kelewatan iaitu peningkatan daripada 1.68 juta kilometer perjalanan pada Ogos.
Menurut data terkini, CCL bukan lagi laluan dengan kebolehpercayaan terendah, sebaliknya berada di kedudukan keempat dengan 1.49 juta kilometer perjalanan tanpa kelewatan, sebelum terjadinya satu kes kelewatan, meningkat daripada 1.25 juta kilometer perjalanan.
Kedua-dua EWL dan CCL dikendalikan oleh SMRT.
Angka itu berdasarkan purata pergerakan 12 bulan bagi Purata Kilometer Antara Gangguan (MKBF).
MKBF merujuk kepada piawaian kejuruteraan yang mengukur jarak perjalanan kereta api sebelum mengalami kelewatan melebihi lima minit, namun tidak mengambil kira tahap keterukan gangguan.
Singapura telah menetapkan sasaran MKBF sebanyak sejuta kilometer perjalanan bagi keseluruhan rangkaian MRT.
Ini adalah laporan keandalan rel bulanan kedua yang dikeluarkan oleh LTA, menyusuli peralihan daripada penerbitan data itu secara suku tahunan, dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Dengan sekurang-kurangnya 15 kejadian gangguan rel antara Julai dengan September, keandalan rangkaian kereta api telah menjadi tumpuan utama orang ramai.
Siri kerosakan itu mendorong pemerintah membentuk sebuah pasukan petugas keandalan rel, yang akan menyerahkan saranan akhir mereka menjelang akhir 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg