Sempena Hari Wanita Antarabangsa, 8 Mac, Pasukan Petugas Kesihatan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Keat Hong telah melancarkan sebuah program kesihatan wanita yang ditujukan mendidik seramai 10,000 wanita di GRC Chua Chu Kang.
Dinamakan Bloom & Dazzle, Keat Hong CCC akan bekerjasama dengan M3@Chua Chu Kang (M3@CCK), Perikatan Tindakan Aktif Terhadap HPV (A4HPV), rakan kongsi masyarakat dan pakar kesihatan, untuk menjadikan program ini sebuah rangkaian sokongan untuk wanita.
Acara pelancaran program tersebut turut dihadiri Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Keat Hong, serta sukarelawan, pakar kesihatan dan rakan kongsi masyarakat.
“Melalui rangkaian profesional penjagaan kesihatan, masyarakat dan rakan kongsi korporat yang kuat, kita serta-merta mengumpulkan sumber, kepakaran, dan sokongan untuk mewujudkan perubahan yang berkekalan dalam kesihatan wanita dalam masyarakat kita.
“(Bloom & Dazzle) merupakan satu inisiatif sempena SG60 tahun ini, yang bermatlamat untuk membina sebuah masyarakat wanita yang lebih sihat dan kukuh,” jelas Encik Zhulkarnain.
Program $100,000 itu akan bermula dengan Girl Talks: Real Conversations, Real Connections, sesi perkongsian tentang pendidikan kesihatan wanita dan penjagaan pencegahan.
Tambahan pula, program itu dibuka kepada setiap wanita, tidak kira usia.
“Cara yang menyeluruh ini memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam perjalanan kesihatan masyarakat,” jelas Cik Hamidah Aidillah Mustafa, Naib Pengerusi Keat Hong CCC.
Sepanjang tahun, pertubuhan-pertubuhan Akar Umbi (GRO) Keat Hong akan menganjurkan inisiatif mendekati masyarakat seperti ceramah serta pemeriksaan kesihatan serta pelbagai aktiviti kesihatan lain.
Melalui usaha tersebut, kaum wanita di GRC Chua Chu Kang diharap dapat menimba pengetahuan mengenai isu-isu kesihatan, termasuk pencegahan jangkitan papilomavirus manusia (HPV), pemeriksaan penyakit barah, kesihatan mental dan penuaan aktif.
Selain usaha yang ditujukan kepada masyarakat wanita umum di Chua Chu Kang, program itu akan bekerjasama dengan beberapa masjid.
“Kerjasama kami bersama beberapa masjid akan membantu menguatkan kepentingan kesihatan wanita, terutamanya dalam mendidik masyarakat kami tentang HPV dan pencegahan barah pangkal rahim,” kata Encik Fairoz Hassan, Pengerusi M3@CCK.
Menurut Dr Angela Tan, sukarelawan A4HPV dan Ketua Fasilitator Girl Talks, kepentingan pencegahan HPV harus diutamakan, dan memerlukan penglibatan masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg