Hendak ke masjid untuk bertarawih tetapi tidak mempunyai kenderaan sendiri?
Penduduk daerah M³@Chua Chu Kang tidak perlu terlalu risau kerana mereka kini boleh memanfaatkan khidmat kenderaan percuma yang ditawarkan jiran tetangga sendiri.
Diberi nama Nak Tumpang?, inisiatif yang dianjurkan buat kali pertama oleh M³@Chua Chu Kang itu membolehkan jemaah yang tidak berkenderaan menumpang kenderaan sukarelawan untuk ke Masjid Al-Khair.
Khidmat tersebut akan ditawarkan dari 20 Mac hingga 29 Mac dari 8 malam hingga 8.30 malam.
Terdapat dua tempat pengambilan iaitu di Kelab Masyarakat Keat Hong dan Blk 811A Choa Chu Kang Avenue 7.
Menurut Encik Imran Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Keat Hong, idea bagi inisiatif Nak Tumpang? terbit daripada keinginan untuk menyokong jiran tetangga dalam perjalanan rohani mereka, terutamanya sempena Ramadan yang penuh keberkatan.
Inisiatif itu juga mahu menggalakkan mereka yang mempunyai tempat duduk kosong dalam kenderaan mereka untuk menawarkan perjalanan ke masjid bagi penduduk yang tidak berkenderaan.
“Lebih daripada setakat menawarkan khidmat kenderaan, inisiatif ini juga diharap dapat mengukuhkan ikatan dalam masyarakat kita, memupuk semangat prihatin dan kemurahan hati.
“Dengan hanya menumpang kenderaan, kita bukan sahaja memudahkan perjalanan seseorang ke masjid tetapi juga mewujudkan peluang untuk menjalin hubungan bermakna dan memupuk persahabatan yang berkekalan dengan jiran kita,” ujar beliau.
Menurut Encik Imran, sukarelawan yang telah menyuarakan minat untuk terlibat sama dalam inisiatif ini adalah rencam – penduduk kawasan tersebut, pemandu kereta sewa privet serta individu yang bukan beragama Islam juga.
Tanpa berkongsi bilangan sukarelawan yang ada, beliau menambah bahawa pihaknya telah menerima “minat yang menggalakkan daripada sukarelawan yang tidak sabar untuk menyumbang kepada inisiatif yang bermakna ini”.
Selain Nak Tumpang?, M³@Chua Chu Kang juga akan memperkenalkan inisiatif baru Potret Keluarga Raya tahun ini.
Penduduk kawasan itu boleh bergaya dalam baju Raya dengan keluarga masing-masing dan mengambil potret keluarga sebagai kenangan.
Sesi bergambar percuma itu juga menggalakkan keluarga yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing untuk membawa mereka bersama untuk bergambar.
Sesi bergambar tersebut akan diadakan pada Ahad, 16 Mac, dari 10 pagi hingga 5 petang di Bilik Mesyuarat Keat Hong CC di Aras 2. Penduduk yang berminat mesti mendaftar terlebih dahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg