Daripada kelas tarian gelek atau belly-dancing untuk menarik lebih ramai wanita ke Kelab Masyarakat Keat Hong, kepada konsert Bulan Bahasa yang menampilkan kugiran bertaraf bintang dari Malaysia untuk memikat jiwa muda, penduduk di Chua Chu Kang telah disajikan dengan pelbagai acara menarik sejak beberapa tahun lalu.
Acara tersebut antara cara Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, cuba menyuntik kesegaran dalam sajian kegiatan kelab masyarakat, supaya menambat hati lebih ramai penduduk di Keat Hong, terutamanya golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), wanita dan belia.
Menurut Encik Zhulkarnain, beliau berharap kelab masyarakat boleh bersifat lebih inklusif dengan cara ini.
“Ingat tak Konsert Bulan Bahasa 2023? Ada band Kugiran Masdo. Pada masa itu, bilangan belia yang hadir di luar jangkaan, sehingga ramai berpusu-pusu beratur di tepi jalan dan perhentian bas sana.
“Seluruh Kelab Masyarakat Keat Hong kita tutup untuk menganjurkan Konsert Bulan Bahasa bagi menarik lebih ramai anak-anak muda Melayu agar menghargai dan melestarikan bahasa Melayu menerusi acara menarik,” kata Encik Zhulkarnain.
Konsert Bulan Bahasa 2023 itu turut menampilkan pelbagai kegiatan kekeluargaan seperti Pesta Pantun, reruai pembuatan wayang kulit, anyaman dan lukisan batik untuk kanak-kanak, serta penampilan artis jemputan demi menarik perhatian anak muda.
Selain acara di kelab masyarakat, Encik Zhulkarnain juga bekerjasama dengan para relawan dan aktivisnya untuk membawa lebih banyak aktiviti yang unik dan bernostalgia, lebih dekat dengan penduduk, melangkaui sempadan Kelab Masyarakat Keat Hong sahaja.
Ini termasuk menganjurkan acara tengok wayang berbumbung bintang di Keat Hong Plaza – kawasan terbuka di Choa Chu Kang Avenue 4 – di mana pemandu kereta elektrik boleh terus menonton dari kereta masing-masing.
“Kalau di Singapura dulu, pada zaman 70-an, kita ada wayang pandu lalu. Sekarang, kita nak wujudkan semula konsep ini balik ke Chua Chu Kang.
“Orang ramai boleh tonton wayang dalam kereta bersama keluarga ataupun merasakan suasana kampung di bawah bintang seperti zaman berpacaran dahulu,” kata Encik Zhulkarnain.
Acara tersebut buat julung-julung kalinya telah dianjurkan pada 21 Disember dengan kerjasama syarikat elektrik BYD, di mana kesemua penjanaan elektrik bagi acara itu dijana oleh penjana elektrik yang sifar karbon.
Pada masa depan, Encik Zhulkarnain berkata lebih banyak acara menarik akan diadakan di Keat Hong Plaza – yang dibuka pada 2024 – bagi menarik lebih ramai penduduk, termasuk sambutan Hari Kebangsaan dan Pesta Makanan Food Truck.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg