Apabila bekalan air terganggu di Blok 407 Choa Chu Kang Avenue 3 pada 2024, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, diberitahu hampir serta merta mengenai perkara itu melalui pesanan WhatsApp daripada seorang penduduk yang terjejas.
Dengan segera, Encik Zhulkarnain menghubungi pegawai majlis bandaran dan mengerah relawan akar umbi untuk bergotong-royong menyediakan bekalan air sementara buat para penduduk, sementara kontraktor dipanggil untuk mengembalikan bekalan air.
Dalam satu kejadian yang lain, hanya beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun yang sama, seorang penduduk menghantar pesanan WhatsApp kepada Encik Zhulkarnain untuk meminta bantuan makanan dek sedang kelaparan dan tidak mempunyai wang.
Tanpa berlengah, Encik Zhulkarnain, yang juga penasihat akar umbi Keat Hong, mengerahkan para relawan dari Kelab Masyarakat Keat Hong untuk menyediakan habuan makanan serta bantuan kewangan untuk diberikan kepada penduduk yang memerlukan itu.
Dua kejadian itu hanya segelintir daripada pelbagai isu yang dilaporkan oleh para penduduk secara langsung kepada Encik Zhulkarnain sejak beliau berkongsi nombor telefon peribadinya dengan mereka.
Menurut Encik Zhulkarnain, beliau berbuat demikian bukan hanya untuk mendekati penduduk di Keat Hong, malah supaya mereka dapat berhubung lebih mudah dengannya.
Ini, katanya, adalah sebahagian daripada daya utama ‘Go-To-The-People Session’ (GPS), atau Sesi Mendekati Penduduk yang dijanjinya semasa bertanding di Pilihan Raya Umum (GE) 2020 – pilihan raya sulung baginya – demi mendekati lebih ramai penduduk.
Usaha ini tidak termasuk Sesi Anggota Parlimen mingguan, atau Meet-the-People Session (MPS), yang dilakukan Encik Zhulkarnain untuk menemui penduduk.
“Semasa pilihan raya umum yang lalu, saya kata MPS ini kita perlu tukar jadi GPS, iaitu Go-to-the-People Session.
“Selain penduduk datang minta bantuan menerusi MPS, saya juga boleh ‘pergi’ kepada mereka dengan berkongsi nombor telefon saya.
“Menerusi WhatsApp, mereka boleh mesej saya. Ada juga warga emas yang kadang-kadang hantar mesej ‘Salam Subuh’ atau ‘Selamat Pagi’ kepada saya,” ujar Encik Zhulkarnain sambil tertawa.
Demikian yang dikongsi Encik Zhulkarnain, 44 tahun, dalam satu wawancara khas bersama Berita Harian (BH), sempena siri laporan wawancara dengan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam.
Wawancara dengan Encik Zhulkarnain ini diterbitkan sebagai sebahagian daripada liputan khas menjelang GE 2025 – yang perlu diadakan selewat-lewatnya November ini.
Selain berkhidmat sebagai AP dan penasihat akar umbi di Keat Hong, Encik Zhulkarnain juga merupakan seorang peguam dan Rakan Kongsi Kanan di firma guaman Dentons Rodyk & Davidson.
Beliau juga menggalas peranan sebagai Pengerusi Bulan Bahasa sejak 2023 dan pada 2024, dinamakan sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) untuk menerajui pembangunan bahan dan program perancangan warisan Islam (ILP) bagi menyokong usaha Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Selain itu, Encik Zhulkarnain juga menganggotai lembaga Reben Kuning Singapura (YRF).
Ditanya sama ada beliau mendapat lebih tekanan setelah berkongsi nombor telefon peribadinya di samping menjalankan tugasnya yang pelbagai itu, beliau berkata:
“Stres atau tidak, itu lain kira.
“Ada yang tanya sama ada saya AP sepenuh masa atau AP sambilan masa.
“Saya menjawab: Saya AP anytime, everytime, all the time (bila-bila masa, setiap masa dan semua masa),” kata Encik Zhulkarnain dengan senyuman mudah terukir di wajahnya.
Dalam GE 2020, Encik Zhulkarnain menganggotai pasukan empat calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bersaing menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP) di GRC Chua Chu Kang.
PAP menang 58.64 peratus undi selepas meraih 59,554 undi berbanding PSP yang mendapat 41.36 peratus undi. Pada ketika itu, GRC tersebut mempunyai lebih 106,000 pengundi.
Meskipun beliau mengambil alih sebagai AP di Keat Hong daripada AP lebih berpengalaman, iaitu Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang kini mewakili penduduk GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zhulkarnain berkata kawasan Choa Chu Kang tidak aneh dan baru baginya.
Ini memandangkan beliau sendiri telah membesar di kawasan itu – ayahnya masih menetap di sana.
Justeru beliau “amat peka dengan keprihatinan penduduk” seperti harapan penduduk untuk mendapat lebih banyak pusat penjaja dan kemudahan riadah, umpamanya.
“Berdekatan MRT Choa Chu Kang nanti akan ada pusat penjaja baru. Tapi sementara ia siap, kita akan adakan lebih banyak tempat makanan, seperti food truck atau lori kecil yang menjual makanan di Keat Hong Plaza.
“Ini ala konsep food truck di Kuala Lumpur, penduduk boleh lepak bersama-sama dan kita juga akan mengadakan tayangan filem secara percuma setiap dua atau tiga bulan.
“Kita juga telah membangunkan The Arena @ Keat Hong – di antara Choa Chu Kang Avenue 4 dengan Choa Chu Kang Avenue 3 – di mana ada gelanggang futsal, bola keranjang, bola tampar dan petanque,” kata Encik Zhulkarnain.
Dari segi kemudahan, kawasan Keat Hong tidak kurang berbanding bandar lain, dengan adanya stesen MRT, pusat pertukaran bas, pusat membeli-belah Lot 1 dan Kelab Masyarakat Keat Hong terletak berdekatan dengan satu sama lain.
Malah, di Kelab Masyarakat Keat Hong pula, terdapat pelbagai gerai makanan halal baru juga seperti Makan Singapura oleh Yassin Kampung yang menampilkan gerai makanan Nasi Lemak Ayam Taliwang dan BOBMI.
Tambahan pula, pada masa akan datang, Encik Zhulkarnain berkata terdapat banyak lagi kerja naik taraf dan pembangunan yang akan dilakukan bagi meningkat ketersambungan dan mutu kehidupan penduduk di Keat Hong.
Ini termasuk pembinaan Laluan Daerah Jurong (JRL) serta program-program yang akan memanfaatkan kehidupan penduduk, di dalam rumah dan di kawasan kejiranan, seperti Program Peningkatan Rumah (HIP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).
Meskipun mungkin terdapat kata-kata negatif atau cemuhan di media sosial tentang kekurangan dari segi pembangunan prasarana di Choa Chu Kang, Encik Zhulkarnain berkata beliau lebih cenderung untuk menumpukan perhatian kepada usaha-usaha menambah baik kehidupan penduduknya di Keat Hong.
“Kalau saya dapat membantu generasi yang akan datang naik taraf persekitaran perumahan mereka ataupun membawa keprihatinan mereka ke Parlimen... kesannya mungkin tidak dapat dilihat pada esok hari atau dalam satu dua bulan... malah berdekad.
“Tapi itu tidak bermakna benih yang kita tanam ini tidak bermakna.
“Semua usaha yang dijalankan daripada semua aktivis ataupun penduduk itu bermakna bagi saya, baik atau buruk, tak kisah awak (berbaju) biru, hitam, putih,” kata Encik Zhulkarnain.
Setelah hampir lima tahun berkhidmat kepada penduduk di Keat Hong, Encik Zhulkarnain berkata beliau kini lebih disenangi, bukan sahaja oleh masyarakat Melayu/Islam, malah penduduk bukan Melayu.
Menurut beliau, ini mungkin kerana program yang dijalankan memanfaat semua bangsa, seperti pemberian habuan dan sesi potong rambut secara percuma.
Beliau kini juga telah menjalin hubungan lebih mesra dengan mereka.
“Pada awalnya, mungkin saya agak kaku... tapi kini, saya boleh bertutur sedikit dalam bahasa Tamil dan bahasa Mandarin, lebih mudah hendak mulakan perbualan.
“Sebenarnya apabila kita menjalankan amanah kita secara adil dan profesional, mereka tidak peduli bangsa kita... hanya sama ada kita orang baik, amanah,” kata Encik Zhulkarnain.
“
Kalau saya dapat membantu generasi yang akan datang naik taraf persekitaran perumahan mereka ataupun membawa keprihatinan mereka ke Parlimen... kesannya mungkin tidak dapat dilihat pada esok hari atau dalam satu dua bulan... malah berdekad. Tapi itu tidak bermakna benih yang kita tanam ini tidak bermakna.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg