Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di Ang Mo Kio: Dua remaja ditahan, perbuatan nakal guna api

Sep 26, 2025 | 3:15 PM
Kebakaran di Ang Mo Kio, remaja ditahan, perbuatan nakal
Sebuah kebakaran telah berlaku sebelum 8.25 malam pada 25 September di Blok 510, Ang Mo Kio Avenue 8. - Foto ST

Dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kebakaran di Ang Mo Kio, yang mengakibatkan 11 individu dihantar ke hospital.

Dalam satu kenyataan pada 26 September, pihak polis berkata kedua-dua remaja itu ditahan atas tuduhan melakukan perbuatan nakal menggunakan api.

Kejadian berlaku sebelum 8.25 malam pada 25 September di Blok 510, Ang Mo Kio Avenue 8.

Kebakaran tersebut melibatkan sebuah alat mobiliti peribadi (PMA) dan beberapa basikal di lobi lif di tingkat tujuh, lapor The Straits Times (ST).

Anggota bomba dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah menerima panggilan kecemasan pada 8.30 malam.

SCDF berjaya memadam kebakaran yang turut memusnahkan perabot berhampiran lobi lif.

Sekitar 90 penduduk dari blok tersebut telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Selain itu, 11 individu berusia antara 18 bulan dengan 85 tahun didapati terhidu asap dan dihantar ke hospital.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan kerana disyaki menyebabkan kebakaran di sebuah blok di Chai Chee Avenue pada 5 September.

Kebakaran itu mengakibatkan empat individu dihantar ke hospital, dan sekitar 50 penduduk dipindahkan.

Pada Mei, seorang lelaki berusia 54 tahun pula ditahan berhubung kebakaran di Whampoa Heights, yang berpunca daripada barangan yang diletakkan di koridor di luar sebuah unit di tingkat dua dan tiga.

Foto kejadian yang dikongsi di media sosial menunjukkan asap hitam tebal berkepulan di udara, dengan api marak di tingkat dua dan tiga di Blok 20, Jalan Tenteram.

Seramai lima orang termasuk suspek telah dibawa ke hospital akibat terhidu asap, manakala sekitar 40 penduduk dipindahkan berikutan kejadian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg