Sebanyak 58 kes kebakaran yang dilaporkan antara 2019 dan 2024 dikaitkan dengan ‘power bank’, dengan 2024 mencatatkan jumlah tertinggi kejadian seumpama itu iaitu 13.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 14 April, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata terdapat 10 kes kebakaran sedemikian pada 2023, sebanyak 11 kes pada 2021 dan 2022, enam pada 2020 dan tujuh pada 2019.
‘Power bank’ telah menjadi tumpuan berita sejak kebelakangan ini di tengah-tengah kejadian, termasuk seramai 650 penumpang terpaksa turun di stesen MRT Raffles Place selepas ‘power bank’ kepunyaan seorang wanita terbakar dalam gerabak kereta api.
Satu lagi kebakaran berlaku pada Januari apabila pesawat Air Busan musnah terbakar di landasan di Korea Selatan.
Susulan kejadian itu, beberapa syarikat penerbangan mengambil langkah melarang penggunaan ‘power bank’ oleh penumpang semasa dalam penerbangan.
Singapore Airlines dan Scoot berkata penumpang tidak akan dibenarkan menggunakan ‘power bank’ untuk mengecas peranti peribadi mereka semasa dalam penerbangan mulai 1 April.
Menurut syarikat penerbangan itu, mereka juga tidak akan dibenarkan untuk mengecas ‘power bank’ mudah alih melalui port USB di dalam pesawat sepanjang penerbangan atas alasan keselamatan.
SCDF menggesa orang ramai agar menyimpan bateri pada suhu bilik dan menjauhkannya daripada bahan mudah terbakar seperti kertas, kayu atau produk petroleum.
‘Power bank’ juga tidak boleh terdedah kepada sumber haba – termasuk cahaya matahari secara langsung – atau diletakkan berdekatan peranti pemancar haba seperti komputer riba atau telefon pintar.
Sebelum menggunakan ’power bank’, pengguna harus memeriksanya untuk mengenal pasti tanda-tanda kerosakan atau perubahan bentuk. Mengecas bateri yang rosak boleh menyebabkan pemanasan melampau atau mencetus kebakaran.
Semasa mengecas ‘power bank’, pengguna harus mencabut pengecas sebaik sahaja proses mengecas selesai bagi mengelakkan ia dicas secara berlebihan.
SCDF berkata terdapat beberapa model bateri tidak mempunyai fungsi henti pengecasan automatik dan pengecasan berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada bateri.
Ini boleh mengakibatkan bateri mengembung, mengeluarkan gas serta masalah haba atau elektrik lain seperti terlalu panas atau litar pintas.
Bateri perlu dicas di atas permukaan keras dan rata seperti meja untuk memastikan haba dapat dilepaskan dengan baik.
‘Power bank’ juga tidak sepatutnya digunakan di bawah selimut atau bantal, mahupun di dalam beg atau ruang tertutup seperti laci.
Pengguna dinasihatkan agar mengikuti arahan penggunaan yang diberikan oleh pengeluar, dan hanya menggunakan pengecas yang diluluskan oleh pengeluar asal, tambah SCDF.
Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) memerlukan pembekal memastikan barangan pengguna am, termasuk ‘power bank’ memenuhi piawaian keselamatan sebelum dijual di pasaran.
Pada Mac, pengarah CPSO, Cik Beatrice Wong, berkata pembekal tidak perlu mendapatkan kelulusan awal atau pensijilan prapasaran bagi produk tersebut.
Namun, mereka perlu mematuhi piawaian keselamatan untuk komponen dalaman, dan menyediakan maklumat penting bagi pengguna, seperti panduan pengecasan serta suhu operasi minimum dan maksimum.
Agensi tersebut turut menjalankan pemantauan pasaran dan berhak mengarahkan pembekal menghentikan penjualan serta memaklumkan pengguna sekiranya produk tidak mematuhi piawaian.
Pembekal yang gagal mematuhi arahan CPSO boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Pengguna juga perlu peka terhadap kemungkinan dakwaan palsu, kerana terdapat ‘power bank’ yang diiklankan secara tidak tepat sebagai ‘diluluskan oleh CPSO’ atau ‘diluluskan oleh Enterprise Singapore’,” tambah Cik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg