Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran di bangunan perindustrian Eunos dipadam selepas lebih 5 jam

Nov 2, 2025 | 1:49 PM
Kebakaran, bangunan perindustrian Eunos, SCDF
Tiada kecederaan dilaporkan susulan insiden kebakaran yang berlaku di 1079 Eunos Avenue 7, Kawasan Perindustrian Eunos, pada petang 1 November. - Foto ST

Kebakaran yang berlaku di Estet Perindustrian Eunos pada 1 November berjaya dipadamkan anggota bomba selepas lima jam setengah, dengan operasi pendinginan dijangka diteruskan sepanjang malam.

Pendinginan merujuk kepada proses menyiram permukaan yang terbakar dengan air, sejurus api dipadamkan bagi mencegah api daripada menyala semula.

Tiada kecederaan dilaporkan susulan insiden yang berlaku di 1079 Eunos Avenue 7 itu, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam hantaran awal di Facebook pada sekitar 6 petang, 1 November.

Sementara itu, bangunan perindustrian satu tingkat berbumbung besi yang terbakar itu akan diarahkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk ditutup bagi penilaian dan kerja pembaikan lanjut, menurut hantaran Facebook penguasa itu pada 2 November.

Pemilik bangunan itu dikehendaki melantik seorang jurutera profesional untuk memberi panduan mengenai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi mengelak sebarang bahaya, menjalankan siasatan terperinci terhadap struktur terjejas dan mencadangkan kerja pembaikan, tambah BCA.

Dalam hantaran pada 11.15 malam pada 1 November, SCDF memaklumkan bahawa seorang anggota bomba yang dipercayai terhidu asap telah dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH). Seorang lagi anggota bomba yang mengadu kurang sihat turut dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH).

Dalam kemas kini pada 2 November, SCDF memaklumkan bahawa kedua-dua anggota bomba berkenaan telah dibenarkan keluar hospital dan masing-masing diberikan cuti sakit selama empat dan tiga hari.

Sebelum ini, SCDF berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada sekitar 5.30 petang, 1 November, dan api berjaya dipadamkan pada sekitar 11 malam.

Kebakaran yang melibatkan bahan binaan dan peralatan pejabat itu telah memusnahkan tiga unit bengkel, lapor The Straits Times (ST).

Manakala unit keempat hanya sebahagian bumbungnya terjejas, dan anggota bomba berjaya menghalang api daripada terus merebak.

Sebanyak 16 kenderaan kecemasan dan sekitar 60 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

SCDF mengawal kebakaran di unit terjejas menggunakan dua pancutan air, dua pemantau air, sebuah pemantau udara dan dua mesin pemadam api.

SCDF menambah bahawa operasi pendinginan dijangka berterusan sepanjang malam.

SCDF memaklumkan dalam kemas kini pada 9.40 malam bahawa dua mesin pemadam api telah dikerahkan bagi mengurangkan risiko kepada anggota bomba, memandangkan premis yang terjejas berada dalam keadaan tidak stabil.

Penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran, termasuk Mountbatten dan Eunos, telah menerima amaran daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mengelak kawasan tersebut.

Menurut Google Maps, antara syarikat yang terletak di bangunan berkenaan ialah sebuah syarikat pengeluar logam dan pengilang pintu.

Apabila ST menghubungi syarikat-syarikat tersebut, hanya pengeluar logam, System & Parts Engineering, memberi respons. 

Seorang wakil syarikat itu berkata kebakaran tersebut tidak menjejas premis mereka, namun memberi kesan kepada syarikat pengilang pintu, Best Doors.

Apabila ST tiba di lokasi pada sekitar 5.50 petang pada 1 November, asap tebal kelihatan keluar daripada sebuah unit.

Sementara itu, para pekerja di kawasan itu diarahkan meninggalkan lokasi.

Sebuah kereta bomba dan sebuah kenderaan tambahan SCDF dengan tangki air dilihat di lokasi, manakala seorang pegawai polis sedang mengira bilangan pekerja.

Sekitar 7.20 malam, sebahagian dinding kilang runtuh dengan dentuman kuat didengari ketika operasi pemadaman api sedang dijalankan.

Sekitar 9 malam, sekumpulan pekerja dimaklumkan oleh pegawai polis bahawa mereka kini dibenarkan meninggalkan lokasi kejadian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg