Empat orang telah dibawa ke hospital selepas satu kebakaran berlaku di sebuah flat di Redhill pada awal pagi 28 Ogos.
Dalam satu hantaran Facebook pada hari yang sama, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan mengenai kebakaran di Blok 68, Redhill Close, pada 1.15 pagi, lapor The Straits Times (ST).
Apabila pasukan bomba tiba di lokasi, ruang tamu flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat empat sedang terbakar.
Anggota SCDF berjaya memadamkan api menggunakan jet air.
Menurut SCDF, kebakaran itu hanya melibatkan ruang tamu.
Tiga individu yang sedar telah diselamatkan dari salah sebuah bilik tidur dan diberikan rawatan kerana terhidu asap serta mengalami kecederaan ringan akibat melecur.
Ketiga-tiga mereka dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH), bersama seorang lagi penghuni dari unit lain di tingkat berbeza yang berasa kurang sihat.
Menurut SCDF, kira-kira 50 orang dari blok yang terjejas turut diarah keluar oleh pihak polis sebagai langkah berjaga-jaga.
Hasil siasatan awal menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada sumber elektrik di ruang tamu.
Bagi mencegah kejadian seperti itu, SCDF mengingatkan orang awam agar tidak membebankan soket elektrik dengan terlalu banyak peralatan, sentiasa menutup suis apabila peralatan tidak digunakan dan memeriksa keadaan wayar secara berkala.
SCDF turut menasihatkan agar wayar yang rosak diganti atau dibaiki dengan segera.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak meletakkan wayar di bawah permaidani atau tikar, dan memastikan wayar dijauhkan dari permukaan panas.
Bateri atau peranti tidak seharusnya dibiarkan mengecas tanpa pengawasan untuk tempoh yang lama atau semalaman.
SCDF turut menasihati supaya hanya menggunakan perkakas dan palam elektrik yang mempunyai Tanda Keselamatan.
Senarai kategori perkakas serupa boleh didapatkan d laman web, www.consumerproductsafety.gov.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg