Beberapa bahagian Galeri Nasional Singapura dibuka semula kepada orang awam pada 12 tengah hari selepas kebakaran berlaku di situ pada pagi 9 September.
Kebakaran tersebut berlaku di dalam “kawasan pejabat yang kecil dan terkawal”, dengan tiada kerosakan menjejas lukisan seni di situ.
Satu kenyataan media pada 10.30 pagi memaklumkan bahawa muzium itu ditutup sehingga notis pemberitahuan selanjutnya, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Facebook Galeri Nasional Singapura pada 11.40 pagi, kawasan yang didapati selamat oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah dibuka semula pada 12 tengah hari, 9 September.
Bahagian galeri City Hall Wing dan Atrium Padang didapati selamat untuk dibuka semula, susulan pemeriksaan menyeluruh oleh SCDF.
Ruang yang merupakan bekas Supreme Court Wing, bagaimanapun, dijadual dibuka semula kepada orang awam pada 10 September.
Menurut SCDF, mereka dimaklumkan tentang kebakaran melibatkan panel kawalan elektrik di tingkat pertama balai seni itu pada 9.05 pagi.
Sementara itu, pengunjung muzium telah diminta keluar dari lokasi tersebut apabila kebakaran berlaku.
Api dipadam segera oleh Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (Cert) sebelum pasukan bomba tiba.
Mereka menggunakan alat pemadam serbuk kering untuk memadamkan api tersebut.
Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.
“Kami menekankan bahawa keutamaan kami adalah untuk menjamin keselamatan semua pengunjung dan kakitangan muzium.
“Kami bersyukur atas keprihatinan dan pemahaman semua orang,” jelas jurucakap Galeri Nasional Singapura.
Pelancong dari Cina, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Liu berkata, beliau melihat pasukan SCDF ketika beliau berjalan lalu di muzium itu pada 11 pagi.
Cik Liu, 68 tahun, mendapati keadaan di situ tenang dan terkawal ketika diberitahu supaya kembali ke sana pada petang hari.
Terletak di St Andrew’s Road, Galeri Nasional Singapura, mengisi ruang bersejarah bangunan City Hall dan Mahkamah Agung.
Muzium seluas 60,000 meter persegi itu menelan belanja pengubahsuaian sebanyak $530 juta dan dibuka rasmi pada November 2015.
Menurut laman web galeri itu, muzium tersebut menampung koleksi lukisan awam Singapura dan Asia Tenggara yang terbesar di dunia.
Terdapat 13 pameran yang sedang berlangsung di situ, termasuk Biennale Galeri Kanak-Kanak 2025.
Laman web galeri turut memaklumkan terdapat enam lawatan berpandu, dua kegiatan alam maya serta bengkel dan kegiatan Pas Budaya SG.
Melalui hantaran Facebook pada 10.55 pagi, Galeri Nasional Singapura mengumumkan bahawa beberapa sesi tayangan filem untuk Festival Filem Antarabangsa, Painting With Light, yang sepatutnya berlangsung pada 9 September akan dibatalkan.
Ia termasuk tayangan filem ringkas, South-East Asia Shorts, di Auditorium Ngee Ann Kongsi pada 12.30 tengah hari.
Festival filem itu sepatutnya berlangsung dari 4 hingga 14 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg