Satu kebakaran berlaku di bangunan perindustrian di Sungei Kadut pada pagi 2 Januari.
Sekitar 7.45 pagi, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengumumkan melalui Facebook bahawa anggotanya sedang memadamkan api di 8 Sungei Kadut Crescent.
Kira-kira satu jam kemudian, SCDF berkata api berjaya dikawal anpa sebarang kecederaan di dilaporkan.
Setelah menerima panggilan sekitar 7 pagi, pegawai SCDF mendapati kebakaran berlaku di sebuah unit di tingkat dua.
Seluruh tingkat dua diselubungi asap tebal, menurut SCDF.
Kebakaran itu, yang melibatkan tin cat warna dan palet kayu di dalam unit berkenaan, dipadamkan dengan pantas menggunakan tiga jet air.
Tiada sesiapa berada di unit tersebut. Punca kebakaran itu masih dalam siasatan.
Insiden ini merupakan kebakaran ketiga yang dilaporkan pada 2026.
Kebakaran pertama berlaku hanya beberapa jam selepas ambang tahun baru di bumbung Our Tampines Hub (OTH) pada 1 Januari semasa pertunjukan bunga api Tahun Baru 2026. Tiada kecederaan dilaporkan.
Sebuah video di Instagram Sgfollowsall memaparkan api menjulang di atas bumbung bangunan itu, berlatarbelakangkan pancaran bunga api.
Video lain di Facebook pula menunjukkan orang ramai berada beberapa tingkat di bawah lokasi kebakaran.
SCDF berkata mereka menerima panggilan mengenai kebakaran di 1 Tampines Walk, pada 12.05 tengah malam.
Namun, empat individu terpaksa dikejarkan ke hospital dalam kebakaran kedua yang berlaku di 462 Sembawang Drive pada petang 1 Januari.
Kebakaran itu berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di tingkat 11.
Anggota bomba berjaya memadamkan api menggunakan jet air.
Seorang penghuni dari unit yang terjejas telah meninggalkan tempat kejadian sebelum SCDF tiba.
Kira-kira 90 penduduk dari blok yang terjejas itu turut dibawa keluar oleh pihak polis dan SCDF sebagai langkah keselamatan.
Empat mangsa yang dibawa ke hospital telah dinilai terhidu asap. Tiga daripada mereka dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg