Tiga individu dibawa ke hospital selepas kebakaran berlaku di dapur sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh pada pagi 6 Oktober.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di Blok 63, Lorong 5 Toa Payoh, pada sekitar 9.45 pagi.
Setibanya di lokasi, dapur unit di tingkat tiga itu sedang terbakar.
Kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan jet air dan sekitar 50 penduduk blok tersebut telah dipindahkan, kata SCDF.
Penemuan awal menunjukkan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada masalah elektrik.
Menyusuli kejadian itu, tiga individu dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH), dua akibat terhidu asap manakala seorang lagi berasa tidak sihat, jelas SCDF.
Dalam gambar kejadian yang dikongsi bersama The Straits Times (ST), asap hitam tebal kelihatan membumbung dari blok tersebut.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou, memaklumkan kepada ST bahawa ketika kejadian, tiada penghuni didapati berada di dalam unit tersebut.
Encik Cai menambah, sukarelawan dari balai rakyat dan majlis bandaran telah berada di lokasi untuk memberi bantuan apabila beliau tiba di lokasi pada sekitar 10.30 pagi.
“Kami sedang membantu penghuni unit yang terjejas dengan penempatan sementara, menilai tahap kerosakan, serta mengeluarkan barangan yang boleh diselamatkan,” kata Encik Cai.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan apabila ST tiba di lokasi sekitar 10.50 pagi.
Pasukan paramedik pula sedang memberi pertolongan kecemasan kepada dua wanita yang dilihat memakai topeng oksigen.
Anggota SCDF dilihat sedang mengemas peralatan mereka sementara kawasan itu masih dikepung oleh polis.
Penduduk dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing sekitar 11 pagi.
Encik Awal, yang tinggal di unit terjejas itu, sedang membuat penghantaran makanan apabila beliau menerima panggilan pada 10 pagi daripada salah seorang jirannya mengenai kebakaran itu.
Lelaki berusia 29 tahun itu tinggal di unit sewa satu bilik bersama lima anaknya yang berusia antara dua dengan lapan tahun.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan punca kebakaran, Encik Awal berkata: “Saya tidak pasti, mungkin wayar elektrik di dapur.”
Jiran sebelah rumah, Encik Muhammud Hd Yazid, 33 tahun, memberitahu ST beliau terhidu bau terbakar sekitar 9.45 pagi.
“Apabila saya buka pintu depan, saya nampak asap putih keluar dari unit itu,” katanya, sambil menambah bahawa beliau segera memeriksa sama ada anak-anak Encik Awal berada di dalam rumah.
“Apabila saya sedar mereka tiada di rumah, saya terus keluar dan menghubungi 995.”
Untuk mengelakkan kebakaran elektrik, SCDF menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan terlalu banyak peralatan pada satu soket elektrik, tidak meninggalkan peralatan beroperasi tanpa pengawasan dan tidak membiarkan bateri atau peranti dicas tanpa pemantauan untuk tempoh masa lama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg