Sebilangan besar isi rumah yang telah memilih untuk menyertai Skim Beli Balik Pajakan (LBS) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima hasil antara $100,000 dengan $300,000 apabila mereka menjual sebahagian daripada pajakan flat mereka kembali kepada HDB.
Itulah yang menjadi pilihan lebih 90 peratus daripada 12,656 isi rumah yang telah memanfaatkan skim itu setakat 30 Jun, menurut HDB dalam satu kemas kini mengenai LBS yang diterbitkan pada 14 Ogos.
Angka HDB menunjukkan bahawa kadar penyertaan untuk LBS kekal stabil – pada purata 1,680 isi rumah setiap tahun sepanjang lima tahun yang lalu.
Skim tersebut membenarkan warga emas berusia sekurang-kurangnya 65 tahun untuk menjual baki tempoh pajakan flat mereka kepada HDB, sambil kekal tinggal di flat itu, membolehkan mereka menua dalam persekitaran yang mereka kenali.
Dalam enam bulan pertama tahun ini, 892 isi rumah telah memilih untuk menyertai LBS dengan kira-kira 53 peratus (6,698) isi rumah yang menetap di flat tiga bilik atau lebih kecil, manakala kira-kira 33 peratus (4,206) menetap di flat empat bilik dan baki 14 peratus (1,752) daripada isi rumah yang menetap di flat lima bilik dan lebih besar.
Warga emas yang menetap di semua jenis flat boleh menyertai LBS dan memilih untuk mengekalkan had pajakan antara 15 dengan 35 tahun (dalam kenaikan lima tahun) berdasarkan usia dan keperluan mereka.
Ia memastikan bahawa tempoh pajakan meliputi usia pemilik termuda dalam isi rumah itu sehingga sekurang-kurangnya 95 tahun.
Hasil daripada jualan pajakan akan digunakan untuk menambah Akaun Persaraan CPF (RA) mereka dan pembelian Pelan CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia).
Isi rumah yang mana semua pemilik didaftarkan kepada pelan CPF LIFE menerima pendapatan bulanan median sekitar $1,000, kata HDB.
Sebarang baki yang terhasil selepas tambah nilai CPF RA akan dikembalikan kepada mereka secara tunai.
Warga emas yang menambah nilai CPF RA mereka dengan hasil daripada pajakan itu akan menerima bonus tunai antara $7,500 dengan $30,000, bergantung pada jenis flat dan jumlah sumbangan CPF RA mereka.
HDB menambah bahawa mereka yang memilih untuk menambah nilai CPF RA mereka sebanyak $60,000 atau lebih daripada hasil bersih mereka akan menerima bonus penuh.
HDB menambah bahawa pada 30 Jun 2024, 93 peratus (11,715) isi rumah yang menyertai LBS menerima bonus penuh.
Selain LBS, warga emas juga boleh memilih untuk menyewakan seluruh flat atau bilik tidur untuk menambah pendapatan persaraan mereka.
Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan flat yang lebih sesuai atau right sizing dengan memohon Bonus Perumahan Perak.
Dari Januari sehingga Jun 2024, terdapat 10,301 permohonan untuk menyewa seluruh flat dan 21,219 permohonan untuk menyewakan bilik tidur yang dibuat oleh isi rumah warga emas yang mana pemajak paling muda berusia 55 tahun ke atas.
Bagi warga emas yang berminat untuk menyertai LBS atau pilihan pengewangan perumahan lain boleh membuat janji temu untuk sesi kaunseling kewangan peribadi di mana-mana cawangan HDB.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg